Pulau Pinang akan umum cukai taksiran baru untuk sektor industri, komersial

Pulau Pinang akan umum cukai taksiran baru untuk sektor industri, komersial

Sektor industri, perniagaan, pertanian dan sebaginya tidak terkecuali daripada membayar cukai taksiran.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihak berkuasa tempatan akan mengumumkan kadar cukai taksiran baru melibatkan 16 kategori di negeri itu.
BUKIT MERTAJAM:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengumumkan cadangan kadar cukai taksiran baru yang bakal dikenakan kepada sektor industri, komersial, pertanian dan sebagainya dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini berkata, sebelum ini kerajaan negeri banyak menyentuh tentang kenaikan kadar cukai taksiran untuk kediaman dan hartanah, sedangkan sektor industri dan perniagaan tidak terkecuali daripada membayar cukai berkenaan.

“Saya akan minta PBT (pihak berkuasa tempatan MBPP dan MBSP) umumkan cadangan kenaikan kadar kategori industri komersial, pertanian dan lain-lain kategori (yang keseluruhannya) mempunyai 16 kategori,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang Kemikon Sdn Bhd di sini.

Dalam pada itu, Chow berkata, kerajaan negeri optimistik dengan kemasukan pelaburan asing dan tempatan, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang yang kini mencecah RM 9.2 bilion untuk separuh pertama 2019.

Katanya, Pulau Pinang menyumbang sebanyak 35 peratus daripada pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia sepanjang tempoh itu.

Chow yakin pelaburan dalam sektor perindustrian akan terus berkembang dan menjadi lokasi untuk para pelabur dalam sektor itu di Pulau Pinang dan negeri wilayah utara amnya.

“Kemikon Sdn Bhd sebagai contoh yang berasal dari Switzerland, merupakan salah satu contoh limpahan kemasukan pelaburan asing yang tidak putus ke Pulau Pinang,” katanya.

Syarikat itu merupakan pengilang kontrak yang mengeluarkan peralatan semikonduktor, struktur kerangka mesin berketepatan tinggi dan sebagainya, untuk dieksport hampir keseluruhannya ke Amerika Syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.