
Beliau menggariskan berapa faktor termasuk peranan Mahathir yang membawa kepada kemenangan mutlak Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum tahun lalu.
“Kita sokong Mahathir, insya-Allah jika masih mempunyai kesihatan baik, biar dia teruskan sampai habis penggal. Jangan tukar, tak boleh tukar, tak sesuai.
“Tidak ada siapa marah pun. Masyarakat dan negara mahu Mahathir teruskan (kekal sebagai perdana menteri). Sebab dia dah janji dalam masa dua tahun lagi dia akan memulihkan keadaan ekonomi kita,” kata beliau kepada FMT dalam satu pertemuan di sini.
PRU15 dijadualkan berlangsung pada 2023.
Mahathir yang kembali dilantik perdana menteri pada Mei tahun lalu, sebelum ini menegaskan beliau akan berundur selepas kira-kira dua tahun memerintah negara.
Di bawah persefahaman antara pemimpin PH, Mahathir perlu menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, tetapi menurut Rashid tiada tarikh ditetapkan.
Pengerusi PPBM dan PH itu berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji berundur apabila negara kembali pulih dan stabil.
Bulan lalu, Anwar memberitahu Bloomberg Television yang beliau menjangkakan akan menggantikan Mahathir tahun depan.
Mengulas lanjut, Rashid berkata mana-mana pemimpin yang mahu menjadi perdana menteri selepas ini perlu memenangkan PH dalam pilihan raya akan datang.
“Orang nak jadi perdana menteri dia kena tentukan dialah yang naikkan parti PH ini untuk menerajui kerajaan.
“Sekarang ini biar Mahathir habiskan penggal ini. Bila ekonomi dah pulih, Mahathir akan berundur,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Rashid memberitahu Mahathir yang juga pengerusi PPBM telah dipujuk untuk menjadi perdana menteri sebelum PRU14.
Beliau berkata Mahathir sedia menjadi perdana menteri sementara sekitar dua tahun tetapi “tidak ada perjanjian hitam putih”.
“Mahathir sebenarnya tak mahu, sebab saya salah seorang ahli Majlis Presiden PH, ketika itu saya hadir semasa keputusan dibuat.
“Tidak ada tempoh masa dua tahun ditetapkan untuk berundur. Kita pilih siapa terajui parti ini untuk memenangi pilihan raya,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, semua pihak harus berhenti daripada bercakap mengenai soal tarikh peralihan kuasa jawatan perdana menteri.
“Pelabur pun tak nak mari, jika terus nak cakap mengenai tukar perdana menteri,” katanya.