Bapa 2 anak didakwa pukul, ugut bekas isteri

Bapa 2 anak didakwa pukul, ugut bekas isteri

Tertuduh didakwa menampar kepala kiri dan menumbuk pipi kiri selain menakutkan secara jenayah kepada bekas isterinya.

Mahkamah menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
KUALA LUMPUR:
Seorang bapa dua anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dan ugut bekas isterinya pada 26 September lepas.

Tertuduh, Shahirul Syafiq Shaharin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Firdaus Saidina Ali.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera dengan menampar bahagian kepala sebelah kiri dan menumbuk pipi kiri bekas isterinya, Nor Syifaa Zamri, 25.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum iaitu setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah kepada isterinya dengan berkata, “Sekiranya aku nampak kau keluar dengan jantan lain dalam tempoh edah ini, aku bunuh satu keluarga kau. Aku akan salahkan abah kau kerana tak jaga kau.”

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Jika ugutannya itu adalah ugutan yang hendak menyebabkan kematian atau cedera parah dan sabit kesalahan hendaklah dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Shahirul Syafiq didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Ukay Perdana, pada 10.30 malam, 26 Sept 2019.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan beliau tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan menanggung ibu serta dua anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama, RM3,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh dilarang mendekati mangsa serta saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 15 Nov ini bagi sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.