Kini semakin tular kes suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan hanya menumpang hasil pasangannya.

Ia bukan lagi dikira sebagai kes kecil kerana 75% daripadanya mempunyai nasib yang sama dialami sang isteri.
Dalam satu perkongsian di laman sosial Facebook sehingga mendapat kecaman netizen dengan 2,700 komen dan 10,000 “share”, Eira Prislla yang merupakan pengurus pembiayaan peribadi kakitangan awam menceritakan pengalamannya menguruskan kes pinjaman membabitkan seorang suami yang memaksa isterinya iaitu seorang kakitangan awam untuk memohon pinjaman peribadi bagi membeli “superbike” untuk kegunaan suaminya.
Menurut Eira, beliau pernah menerima permohonan pinjaman bank seorang jururawat tetapi yang menghantar dokumen tersebut untuk diproses adalah suaminya.
“Isteri dukung anak diam di belakang, selang 4 hari, isteri whatsapp saya minta tolong supaya loan tu jangan diteruskan. Saya tanya kenapa? Dia cuma kata saya tak nak loan tu, tolong tarik balik,” katanya dalam laman sosial itu.

“Kami yang menguruskan pinjaman itu menjadi pelik, jadi saya katakan permohonan itu sudah dibatalkan sebab ada permintaan yang suruh berbuat demikian,” katanya.
Kemudian suami itu berkata dia akan bercakap dengan isterinya untuk meminta permohonan itu diproses semula.
Apa yang mengejutkan adalah pinjaman tersebut adalah untuk membeli “superbike” yang berharga RM86,000.
Minggu berikutnya, isterinya pula meminta untuk berjumpa dengan Iera bagi membincangkan perkara tersebut dan si isteri tersebut merayu dan meminta pertolongan agar tidak meluluskan permohonan itu.
“Katanya, si suami tidak pernah memberi nafkah untuk dia dan anak-anak, pernah diceraikan dan si suami datang balik untuk rujuk dengan alasan anak masih kecil. Dia terima semula sebab keluarga mertua yang memujuknya, tetapi masih sama,” jelasnya.
Menurut isteri itu lagi, segala hutang dia yang menanggung seorang diri iaitu rumah, pinjaman peribadi dan kini motosikal pula.

Berikutan itu, Iera membuat seperti apa yang diminta, dan suaminya mulai tidak puas hati dan mahu memasukkan pinjaman itu ke koperasi pula.
Bagaimanapun Iera memaklumkan yang koperasi juga tidak akan meluluskan permohonan itu jika permohonan daripada bank sendiri tidak lulus.
“Saya save nombor si suami untuk data pelanggan, dan apabila saya menyemak WhatsApp, terpampang si suami dengan perempuan lain mesra berpeluk. Oleh kerana si lelaki secara tidak sengaja ‘kantoi’ yang dia memang curang, maka permohonan itu saya lupuskan.
“Si isteri hubungi saya dan mengucapkan terima kasih dalam keadaan suara yang sebak mencari kekuatan,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]