Gajah Pygmy mati ditembak mesingan semi automatik, kata menteri Sabah

Gajah Pygmy mati ditembak mesingan semi automatik, kata menteri Sabah

Christina Liew berkata, Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan bantuan polis sedang memburu pembunuh gajah Pygmy yang dianggarkan empat orang.

Gajah Pygmy ditemui mati berhampiran tebing Sungai Udin di Dumpas, Kalabakan, pada 26 September lalu.
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew berkata pembunuh menggunakan mesingan semi automatik untuk menembak gajah Pygmy yang ditemui mati di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, pada Khamis lalu.

“Berdasarkan peluru yang dijumpai di badan gajah itu dengan 70 kesan tembakan, senjata api digunakan pembunuh adalah mesingan semi automatik,” katanya dipetik Bernama ketika mengikuti lawatan kerja Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal ke Tarakan, Kalimantan Utara, Indonesia kepada wartawan Malaysia, malam tadi.

Gajah itu ditemui mati oleh pemancing dalam keadaan terduduk di sungai itu pada Khamis lalu.

Liew yang juga timbalan ketua menteri Sabah berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mendapatkan bantuan polis untuk menjejaki pembunuh gajah itu.

Katanya, pegawai JHL mengadakan mesyuarat dengan polis semalam dalam usaha memburu pembunuh gajah itu.

“Pembunuh gajah ini dianggarkan membabitkan empat orang. Ia perbuatan jahat…sepatutnya hargai hidupan liar, bukan bunuh. Saya berharap renjer JHL dan polis dapat tangkap mereka yang terlibat secepat mungkin.”

Liew sedih kerana hanya ada kira-kira 1,500 ekor gajah di Sabah, tetapi ada pihak masih membunuh gajah dengan kejam.

Beliau berharap pembunuh itu dapat ditangkap dan didakwa kerana gajah ialah hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Katanya, biarpun tidak berada di Sabah, beliau sentiasa berhubung dengan Pengarah JHL, Augustine Tuuga untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Beliau berharap ada pihak tampil memberi maklumat bagi membantu usaha menjejaki individu terlibat, khasnya selepas ganjaran dinaikkan kepada RM30,000 untuk pemberi maklumat.

Beliau turut menolak kemungkinan kejadian itu membabitkan sindiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.