
Pengerusinya, Ab Rashid Ab Rahman berkata pihaknya menjemput semua parti politik dengan harapan akan mereka berkongsi pandangan masing-masing kerana pilihan raya “melibatkan masa depan negara”.
“Harapan saya besar dan harap mereka boleh beri maklum balas baik.
“Ini bukan main-main dan hal ini besar untuk masa depan negara kita mesti lakukan secara tanggungjawab,” kata beliau kepada FMT.
Pertemuan sulung melibatkan kesemua parti politik, termasuk dari Sabah dan Sarawak ini berlangsung di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur.
Kata Ab Rashid, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan publik di seluruh sejak awal tahun ini dan kini masa untuk mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik.
Kerajaan menubuhkan ERC bagi mengkaji sistem dan proses serta undang-undang piliha raya sedia ada. Objektif utama kajian ERC adalah bagi memastikan pilihan raya masa akan datang dijalankan dengan penuh berwibawa serta mendapat kepercayaan awam.
ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 dan diberi tempoh dua tahun bagi mengemukakan sebuah laporan yang mengandungi cadangan-cadangan reformasi pilihan raya. Jawatankuasa ini sedang memefokus 15 bidang bagi memantapkan pengurusan dan pengendalian pilihan raya.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya memberitahu pertemuan hari ini bukan soal jawab biasa tetapi dialog yang bakal memberi kesan besar.
Beliau berharap banyak parti politik ambil bahagian dalam pertemuan itu.
“Semua parti politik boleh hantar wakil-wakil yang dikirakan dapat ambil bahagian. Kita nak parti-parti politik suarakan pendapat. Saya akan bagi keterangan apa perkara perlu kita libat sama dan parti politik bebas suarakan segala yang nak disampaikan,” katanya.