ERC cadang guna dua kaedah pilih wakil rakyat

ERC cadang guna dua kaedah pilih wakil rakyat

Pilihan raya peringkat dewan undangan negeri perlu dikekalkan dengan sistem 'first past the post' manakala dewan rakyat boleh menggunakan sistem perwakilan berkadar.

Pengerusi ERC Ab Rashid Ab Rahman (kanan) yang mengadakan pertemuan dengan parti politik hari ini mengesyorkan negara boleh menggunakan dua kaedah memilih wakil rakyat.
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) hari ini mencadangkan negara menggunakan dua kaedah untuk memilih wakil rakyat masing-masing bagi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri.

Pengerusinya, Ab Rashid Ab Rahman berkata pilihan raya peringkat dewan undangan negeri perlu dikekalkan dengan sistem ‘first past the post’ manakala bagi dewan rakyat pula, sistem perwakilan berkadar (proportional representation) sesuai.

“Sistem ‘first past the post’ masih penting di peringkat dewan undangan negeri kerana rakyat di luar bandar masih memerlukan wakil rakyat untuk menjadi penghubung dengan sistem penyampaian kerajaan.

“Sistem ‘proportional representative’ sesuai bagi memilih parti untuk membentuk kerajaan (pusat). Sistem ini membolehkan parti yang paling banyak menerima undi tertinggi akan membentuk kerajaan,” kata beliau pada sidang media di Menara Integriti di sini, hari ini.
Terdahulu ERC mengadakan sesi libat urus bersama hampir 100 wakil parti dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan input dan pandangan bagi memperbaiki sistem pengurusan pilihan raya. ERC diberi dua tahun untuk mengemukakan laporan syor kepada kerajaan.

Sistem perwakilan berkadar adalah kaedah menentukan parti politik membentuk kerajaan berasaskan peratusan undi yang diperoleh sesuatu parti.

Amalan ini sudah diguna pakai di beberapa negara maju khususnya di Jerman, Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia.

Berbanding di Malaysia, negara masih berpandukan model sistem pilihan raya dilaksanakan Britain iaitu berasaskan perwakilan mengikut kawasan ditetapkan.

Mana-mana calon mendapat undi tertinggi akan diisytiharkan sebagai pemenang walaupun mempunyai perbezaan satu undi mengatasi calon lain.

Ab Rashid berkata, kedua-dua bentuk pilihan raya ini tetap perlu dijalankan secara serentak sepertimana yang diamalkan selama ini dengan kertas undi memaparkan nama calon bagi peringkat dewan undangan negeri dan parti mewakili dewan rakyat.

Jelasnya, langkah mengadakan sistem perwakilan berkadar mendapat sokongan parti-parti politik kerana dilihat lebih adil terutama kepada parti kecil untuk mendapat tempat di dewan rakyat.

“Pemilihan bukan bersandarkan kepada calon semata-mata, tetapi parti yang bertanding. Misalnya sesebuah parti mendapat 60% undi, maka parti itu akan dapat 60% kerusi.

“Sistem ini bersifat lebih adil kepada parti kecil untuk mendapat kerusi. Sistem ini juga boleh memperuntukkan kerusi khas untuk kelompok tertentu seperti Orang Asli,” kata beliau.

Turut hadir pada sesi libat hari ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.