
Anaknya, Abdulazeez Wan Ruslan turut mengaku tidak bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi atas empat pertuduhan menerima suapan RM160,000.
Hakim membenarkan Zahrah diikat jamin RM300,000 bersama dua penjamin, manakala anaknya diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin.
Mereka turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada minggu pertama setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.
Zahrah, 60, yang juga seorang akauntan bertauliah, bersara daripada SSM minggu lalu selepas menerajui badan itu selama empat tahun.
Dia berdepan 28 pertuduhan menerima wang daripada individu dan syarikat untuk menganjurkan majlis “Online Networking Entrepreneurs” dan program lain yang diluluskan SSM.
Satu daripada pertuduhan itu ialah menyalahgunakan kedudukannya untuk membenarkan Abdulazeez menjalankan program itu.
Zahrah kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.
Dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda maksimum lima kali ganda nilai suapan bagi setiap satu daripada 31 pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Dia juga boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya bagi dua pertuduhan menerima barangan berharga bernilai RM75,000 di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Abdulazeez, 33, didakwa menerima RM15,000 daripada Samhan Adnan, RM70,000 daripada Mohd Fadly Abdul Hamid, serta dua pertuduhan bersubahat dengan ibunya untuk mengambil RM25,000 daripada Big Data Networks Sdn Bhd dan RM50,000 daripada Prima Arenaniaga Sdn Bhd.
Semua kesalahan itu dilakukan di Lembah Klang, Pahang dan Sarawak antara 2015 hingga awal tahun ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai mencadangkan ikat jamin RM1 juta masing-masing bagi Zahrah dan Abdulazeez.
Bagaimanapun, peguam dua beranak itu, Hamidi Mohd Noh meminta jumlah itu dikurangkan kerana Zahrah baru bersara dan menerima pencen bulanan RM2,229.
Hamidi berkata, perniagaan Abdulazeez turut terjejas sepanjang siasatan SPRM.
“Ikat jamin sangat tinggi tidak patut dikenakan atau ia akan dilihat seperti menghukum mereka sebelum perbicaraan selesai.”