
Itali akan menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) kedua selepas Austria menurunkan usia minimum untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya negara di bawah 18 tahun, menurut “World Factbook” CIA AIA.
Bekas perdana menteri Enrico Letta mencetuskan perdebatan pada Isnin ketika beliau menyeru umur mengundi diturunkan dengan segera selepas golongan muda membanjiri jalan-jalan di seluruh dunia menuntut tindakan politik untuk mengatasi isu perubahan iklim.
“Ini adalah cara untuk memberitahu orang-orang muda bahawa kita menganggap mereka dengan serius,” kata Letta, seorang ahli akademik dan ahli Parti Demokratik (PD) yang memerintah, kepada akhbar harian la Repubblica.
Pada masa ini, rakyat Itali perlu berusia 18 tahun untuk memilih wakil dewan rakyat dan 25 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya senat.
Cadangan itu disokong ketua PD Nicola Zingaretti dan Luigi Di Maio, ketua parti pemerintah lain, 5-Star Movement.
“Orang muda harus dihormati, didengari dan diletakkan dalam pusat politik,” tulis Di Maio di Facebook.
Beberapa negara EU, termasuk Jerman dan Scotland, membenarkan mereka yang berusia 16 tahun mengundi dalam pilihan raya tempatan, tetapi Itali akan menjadi negara besar EU pertama membenarkannya dalam pilihan raya parlimen.
Di Hungary, orang boleh mengundi seawal usia 16 tahun jika mereka sudah berkahwin dan jika tidak, mereka perlu menunggu hingga 18 tahun.