
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata isu itu menjejaskan keyakinan global terhadap keupayaan Beijing untuk menegakkan hak asasi manusia.
“Kekejaman yang dilakukan terhadap kumpulan etnik Uighur di kem-kem tahanan melampaui norma-norma manusia dan mengakibatkan tekanan psikologi, kemurungan dan trauma dalam kalangan mereka daripada etnik ini,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah Uighur dihalang daripada menghubungi keluarga mereka dan bebas ke luar negara.
Beliau juga menggesa rakyat Malaysia menolak apa-apa justifikasi layanan Beijing terhadap orang Islam Uighur di Xinjiang.
“Abim benar-benar merayu kerajaan Malaysia dan dunia Islam untuk terus meningkatkan tekanan politik sehingga kekejaman terhadap umat Islam Uighur di Xinjiang dihentikan dan pembebasan mereka daripada kem tahanan itu dicapai.”
Gesaan NGO itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya tidak mahu mengambil pendirian konfrontasi dengan China berhubung dakwaan salah laku terhadap orang Islam Uighur.
Dalam wawancara dengan BenarNews, beliau mengatakan kekuatan China sebagai alasan negara ini tidak bersuara menentang Beijing.
“Kami percaya pendekatan itu tidak harus bersifat konfrontasi. Ia perlu dibuat menerusi rundingan dan pendedahan tentang apa yang sebenarnya berlaku di China.
“Kami boleh mengutuknya (China) tetapi hakikatnya, kutukan itu sendiri tidak akan mencapai apa-apa,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata sekurang-kurangnya sejuta etnik Uighur dan penganut Islam lain ditahan dalam apa yang China gambarkan sebagai “pusat latihan vokasional” untuk “mendidik semula” penentang beragama Islam di wilayah Xinjiang.