Pelajar Malaysia dipindah kerana jerebu, kembali ke Riau hari ini

Pelajar Malaysia dipindah kerana jerebu, kembali ke Riau hari ini

Kumpulan pertama 18 pelajar dijadual berlepas jam 11 pagi dari Jakarta ke Jambi, manakala kumpulan kedua 35 pelajar berlepas jam 5.05 petang ke Pekanbaru.

Pada 25 Sept pelajar Malaysia dipindah keluar ke Jakarta selepas gabenor Riau mengisytiharkan wilayah itu darurat jerebu berikutan bacaan IPU melebihi 500, sehingga mencecah 700. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Pelajar Malaysia di Riau, Sumatera yang dipindahkan ke Jakarta akibat jerebu baru-baru ini, kembali ke provinsi itu hari ini berikutan keadaan jerebu kembali pulih.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Bakar berkata, ia berikutan penamatan darurat jerebu di provinsi itu yang bermula hari ini.

Kumpulan pertama seramai 18 pelajar dijadual berlepas jam 11 pagi dari Jakarta ke Jambi dengan pesawat Citilink QG964, manakala kumpulan kedua seramai 35 pelajar akan berlepas jam 5.05 petang ini dengan pesawat Citilink QG938 dari Jakarta ke Pekanbaru.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Riau yang sebelum ini melebihi bacaan 500, menurun ke bacaan bawah 150 sejak dua hari lepas.

“Semua pelajar Malaysia yang ditempatkan sementara di Malaysia Hall itu, pulang hari ini ke Jambi dan Pekanbaru, ” katanya pada majlis perpisahan bersama pelajar berkenaan di Malaysia Hall hari ini.

Mereka dipindahkan pada 25 Sept (kumpulan pertama seramai 35 pelajar) dan 26 Sept lepas (kumpulan kedua seramai 18 pelajar), selepas Gabenor Riau, Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu bermula 23 Sept lepas berikutan IPU melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

Berikutan hujan sejak beberapa hari lepas dan keadaan jerebu semakin pulih, Syamsuar mengumumkan status itu ditamatkan hari ini.

Pelajar terbabit dipindahkan ke Jakarta berikutan masih dalam proses permohonan visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas), manakala lebih 100 pelajar lagi dipindahkan atau pulang ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.