LTAT rancang struktur semula portfolio pelaburan

LTAT rancang struktur semula portfolio pelaburan

Sehingga 31 Dis 2018, LTAT mempunyai aset di bawah pengurusan berjumlah RM9.4 bilion.

Ketua eksekutif LTAT Nik Amlizan Mohamed berkata, pada masa ini LTAT merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam sekuriti kerajaan Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merancang menyusun semula portfolio pelaburannya untuk meningkatkan nilai aset di bawah jagaannya, kata ketua eksekutifnya, Nik Amlizan Mohamed.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara khusus aset mana yang sedang dipertimbangkan.

“Kami akan mengkaji semula rosot nilai kami dan pada masa ini, kami telah melantik seorang ketua pegawai pelaburan untuk menyelia pelaburan kami pada masa depan. Jawatan itu baru diwujudkan, yang tidak ada sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Nik Amlizan berkata, LTAT juga akan mengeluarkan penyata minat risiko yang akan menjadi asas bagi peruntukan aset strategiknya.

Ditanya mengenai pemegangan saham LTAT dalam Boustead Holdings Bhd, beliau berkata, LTAT mungkin menimbang untuk mengurangkannya, tetapi bukan pada waktu ini.

“Boustead mempunyai potensi besar, tetapi pegangan kami dalam syarikat itu terlalu banyak, ia bukan amalan terbaik,” katanya.

LTAT adalah pemegang saham majoriti dalam Boustead dengan kira-kira 69.6 peratus pegangan.

Setakat ini, portfolio pelaburan LTAT terdiri daripada 10 peratus dalam pembangunan hartanah, pelaburan hartanah (lima peratus), ekuiti tidak tersenarai (17 peratus), syarikat tersenarai (60 peratus) dan kumpulan syarikat (lapan peratus).

Sehingga 31 Dis 2018, LTAT mempunyai aset di bawah pengurusan berjumlah RM9.4 bilion.

Dalam mempelbagaikan pelaburannya yang 100 peratus dalam negara, Nik Amlizan berkata, LTAT terbuka untuk menyertai landskap pelaburan asing.

“Kami memerlukan rangka kerja dan orang yang sesuai terlebih dahulu. Mungkin tahun depan, kami akan menimbangkannya. Buat masa ini, kami merancang untuk meningkatkan pelaburan LTAT dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.