Iktiraf UEC: Jawatankuasa kajian tidak terikat keputusan kerajaan negeri

Iktiraf UEC: Jawatankuasa kajian tidak terikat keputusan kerajaan negeri

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal baru-baru ini memaklumkan pengiktirafan UEC oleh kerajaan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Khas UEC Eddin Khoo berkata, tugas jawatankuasa itu ialah mengkaji isu berkenaan secara mendalam dan ilmiah.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC) hari ini berkata, sebarang keputusan mengenai sijil tersebut oleh kerajaan negeri tidak akan mempengaruhi dapatan jawatankuasa itu.

Pengerusinya Eddin Khoo berkata, terpulang kepada kerajaan Sabah untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perkhidmatan awam negeri.

“Jawatankuasa ini tak terikat dengan keputusan kerajaan negeri tertentu. Tugas kita mengkaji isu ini secara mendalam dan ilmiah. Saya harap cadangan yang terkandung dalam laporan ini kelak dapat memberikan pencerahan kepada mereka yang mengiktiraf UEC,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang juga merupakan presiden Warisan memaklumkan keputusan pengiktirafan UEC oleh kerajaan negeri itu.

UEC adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar di sekolah-sekolah persendirian Cina.

Ogos tahun lau, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berkata, ia akan memutuskan sama ada akan mengiktiraf sijil UEC selepas satu kajian terperinci dibuat. Putrajaya kemudiannya menubuhkan satu pasukan petugas pada Okt untuk tujuan itu.

Laporan Sinar Harian hari ini menyebut jawatankuasa itu akan menyerahkan ringkasan hasil penemuan kepada Kementerian Pendidikan hari ini.

Eddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu ketika ditanya.

Beliau berkata, kenyataan lanjut akan dikeluarkan oleh pihak kementerian.

“Apa-apa maklumat perlu dapat daripada kementerian sebab kita dalam rundingan dalaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.