Ambil tindakan terhadap individu tidak hormat Negaraku, kata veteran tentera

Ambil tindakan terhadap individu tidak hormat Negaraku, kata veteran tentera

Tidak menghormati lagi kebangsaan adalah satu kesalahan di bawah Akta Lagu Kebangsaan.

Oliver Cuthbert Samuel merupakan anggota tentera yang menaikkan bendera Malaysia di Stadium Merdeka pada 31 Ogos, 1957.
GEORGE TOWN:
Veteran tentera Mohamed Arshad Raji menggesa tindak tegas diambil ke atas satu kumpulan rakyat Sarawak yang tidak mahu berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan.

Beliau menyifatkan perbuatan tersebut hina.

Bercakap kepada FMT, Arshad yang merupakan presiden Persatuan Patriot Kebangsaan berkata, walaupun rakyat Sarawak berhak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, namun keengganan berdiri untuk menghormati lagu kebangsaan itu adalah satu penghinaan.

Seorang lagi veteran tentera, Oliver Cuthbert Samuel berkata, “ambil tindakan ke atas mereka. Masukkan dalam penjara, itu akan memberi pengajaran kepada mereka.”

Samuel, yang bertugas menaikkan bendera Persekutuan Malaya di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 itu berkata, “perbuatan orang awam tidak menghormati lagu kebangsaan kita sangat melukakan.”

Mohamed Arshad Raji.

Arshad berkata, kumpulan dari Sarawak itu mungkin tidak berpuas hati dengan kerajaan pusat, tetapi “Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia. Jadi hormati hakikat itu,” katanya.

Beliau menyifatkan perbuatan kumpulan tersebut sebagai “sangat biadap”, selain menambah, “jika saya berada di situ ketika itu, saya akan tampar (mereka) kerana tidak berdiri.”

Anggota kumpulan hak Sarawak, Sarawak for Sarawakians, tidak mahu berdiri menghormati lagu kebangsaan pada satu acara di Kuching baru-baru ini, yang menurut mereka merupakan satu “protes senyap” terhadap “Malaya yang tidak adil”.

Istilah yang terus digunakan sesetengah pihak untuk merujuk kepada Semenanjung Malaysia.

Pihak polis berkata, tindakan boleh diambil ke atas individu yang tidak menghormati lagi kebangsaan kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Lagu Kebangsaan.

Akta berkenaan menyebut, semua orang yang hadir mesti berdiri hormat apabila lagu kebangsaan dimainkan ditempat awam, melainkan ketika ia disiarkan di TV.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda RM100 atau penjara satu bulan.

Oliver berkata, jika anggota tentera tidak mahu berdiri apabila lagu kebangsaan dimainkan, mereka akan berdepan tindakan keras.

“Jika anda buat begitu, masa depan anda dalam tentera habis.”

Dalam pada itu orang awam yang tidak mahu berdiri hormat pula bermakna “memijak-mijak anggota tentera yang terkorban untuk kebebasan mereka,” katanya.

Samuel, 85 bersara daripada tentera laut pada 1972 dengan pangkat Bintara Kanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.