
Choo Hao Ren mengakui bahawa tindakannya tidak wajar dan dia sepatutnya menyanyikan lagu kebangsaan dengan khusyuk dan hormat.
Dalam satu kenyataan di akaun media sosialnya, Choo berkata dia amat kesal dengan tindakannya itu dan berjanji akan bertindak dengan lebih wajar dalam keadaan sedemikian.
Ia susulan satu video tular menunjukkan dia merakam video itu dan dilihat sedang bergurau ketika lagu kebangsaan dimainkan.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh bagaimanapun menggesa tindakan hukuman diambil terhadap Choo kerana tidak menghormati lagu kebangsaan dan negara.
“Ini bukan soal bangsa apa mahupun parti politik mana, ini soal tanggungjawab utama rakyat Malaysia untuk menghormati negara ini. Sebab itu kita mahukan satu hukuman yang berat kepada petualang sebegini,” katanya di Facebook.
“Kita bukan nak perbesarkan isu, tetapi isu menghormati negara ini adalah isu yang paling besar,” kata exco Melaka itu.
Pada 2021, Choo turut menimbulkan kontroversi selepas menyiarkan video untuk produk pemutihan kulit yang menampilkan pempengaruh media sosial wanita dengan berwajah coklat.
Video itu dikecam teruk oleh warganet, memaksa Choo akhirnya meminta maaf dan memadam video tersebut.