Khalid: Tunggakan sewa rumah PPA, PPR kini RM58 juta

Khalid: Tunggakan sewa rumah PPA, PPR kini RM58 juta

Alasan utama penyewa gagal membayar sewa rumah PPA dan PPR ialah ketiadaan pekerjaan.

DBKL memberi penghuni tempoh dari tiga ke enam bulan untuk menyelesaiakan tunggakan sewa rumah PPA dan PPR yang mereka diami.
KUALA LUMPUR:
Tunggakan bayaran sewa di Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini berjumlah RM58 juta, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, tunggakan itu yang dikenal pasti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) puluhan tahun dahulu masih tidak menemui penyelesaiannya dan antara alasan utama penyewa adalah tidak mempunyai pekerjaan untuk membayar sewa.

“DBKL sekarang tunggakannya RM58 juta. Ini bukan dalam setahun sejak Pakatan Harapan (PH) ambil alih, ini dah banyak tahun dah benda ni tak selesai-selesai.

“Jadi bila kami (PH) ambil alih, kami tak nak gunakan pendekatan mengejut, kami cuba selesaikan masalah ini dulu. Kami beri tempoh dalam tiga atau enam bulan (untuk penduduk bayar sewa), kita tengok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Inisiatif Wilayah Peduli (Komuniti Sejahtera) di PA Desa Rejang di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Zulkifli Abdullah.

Khalid berkata, DBKL merintis program Karnival Kerjaya yang bermula di PA Desa Rejang dalam usaha membantu penduduk PA dan PPR menyelesaikan kemelut bayaran tunggakan sewa rumah.

Karnival kerjaya itu adalah dengan kerjasama Jobs Malaysia yang akan turun untuk bertemu dengan penduduk dan membantu mencari peluang pekerjaan yang sesuai.

“Kami nak selesaikan masalah yang duduk di PA dan juga PPR. Ia mesti merupakan suatu pendekatan yang sepadu, bukan sekadar kami nak ambil tindakan undang-undang, nak bertindak keras sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.