
Sudah sampai masanya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan antarabangsa paling utama zaman ini mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan drastik terhadap peranan serta pengurusan yang dimainkan supaya ia lebih adil dan saksama untuk semua pihak.
Dengan munculnya banyaknya konflik kemanusiaan yang berpanjangan yang tidak dapat diselesaikan oleh pertubuhan berkenaan seperti peperangan yang berlaku di bumi Syria, kesengsaraan yang dihadapi oleh masyarakat Palestin, tragedi pembunuhan puak Rohingya di Myanmar dan lain-lain lagi, ramai pihak pada masa ini kini sudah menganggap PBB tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 1945 yang lalu.
PBB ditubuhkan 74 tahun lalu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua (1939-1945) yang telah menyaksikan jutaan kematian manusia di negara-negara yang terlibat dengan peperangan berkenaan. Pada asalnya, PBB dianggotai oleh 51 negara. Kini ia sudah mempunyai 193 anggota.
Penubuhan PBB adalah berdasarkan matlamat bagi menjalin hubungan kerjasama sesama negara dunia serta mengekalkan suasana aman, harmoni dan adil di antara semua negara. Namun matlamat ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya PBB gagal melaksanakan beberapa perubahan dalaman bagi memastikan pertubuhan berkenaan kekal relavan serta efektif di mata dunia.
Antara faktor utama yang menyebabkan PBB gagal berfungsi dengan baik ialah kerana ia dilihat masih didominasi oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia, United Kingdom, Perancis dan China. Bukan sahaja PBB didominasi oleh lima kuasa dunia berkenaan, malah PBB turut memberi mereka kuasa yang boleh menentukan arah tuju perjalanan PBB sendiri.
Antara kuasa yang diberikan kepada kelima-lima negara ini ialah kuasa veto. Kelima-lima negara ini boleh menggunakan kuasa veto yang telah dimiliki oleh mereka bagi menghalang sebarang cadangan atau draf resolusi yang dikemukakan melalui Majlis Keselamatan. Kuasa veto yang dimiliki oleh lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan telah pun wujud semenjak penubuhan PBB.
Walaupun tiada peruntukkan khusus mengenai kuasa veto dinyatakan dengan jelas melalui Piagam PBB 1945 itu sendiri, namun jika dianalisis dengan teliti melalui Artikel 27 Piagam PBB 1945 ada menyatakan sebarang keputusan yang ingin diambil oleh Majlis Keselamatan, PBB perlu mendapat persetujuan serta tanpa bangkangan lima angota tetap Majlis Keselamatan, sekali gus boleh ditafsirkan sebagai pemberian kuasa khas veto kepada lima negara berkenaan.
Pengunaan kuasa veto yang dimiliki oleh negara-negara anggota tetap Majlis Keselamatan telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati negara angota PBB sendiri. Kuasa veto yang diberikan kepada kelima- lima negara berkenaan sering disalah guna mengikut kepentingan politik mereka.
Antara yang teruk menerima impak akibat daripada salah guna kuasa veto terbabit ialah masyarakat Palestin yang menghadapi kezaliman daripada rejim Israel sejak penubuhan negara Isreal pada 1948. Banyak resolusi yang telah dikeluarkan oleh PBB yang menentang Israel telah diveto oleh sekutu kuat Israel iaitu AS.
Akibat daripada itu, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih melakukan siri kekejaman mereka terhadap masyarakat Palestin. Impak buruk kuasa veto ini turut terkena kepada Malaysia di mana pada 2015 yang lalu pihak Rusia telah menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan, PBB menghalang cadangan lima negara, yang dipelopori oleh Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014, mengorbankan seramai 298 nyawa termasuk 43 orang warga Malaysia.
Pengunaaan kuasa veto yang dimiliki oleh kelima-lima negara terbabit telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati negara angota PBB sendiri. Malah ia turut menyebabkan PBB menjadi sebuah agensi yang tidak membawa apa-apa makna di mata dunia bagi melindungi serta mempertahankan hak asasi manusia. Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan bagi memastikan ia kekal relavan serta bebas menjalankan aktivitinya tanpa gangguan serta pengaruh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.
Kuasa veto yang diberikan kepada kelima-lima negara berkenaan perlu ditarik balik. PBB juga perlu melihat kembali kepada piagamnya supaya tiada lagi peruntukkan khas diberikan kepada mana-mana negara anggota tertentu hingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota yang lain dalam PBB itu sendiri.
Sudah sampai masanya juga, semua negara anggota PBB dilayan sama adil tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mana-mana negara tertentu. Sekiranya tiada langkah berani diambil bagi melaksanakan segala pembaharuan terhadap agensi berkenaan, PBB sudah pasti akan rebah seperti yang pernah berlaku terhadap Liga Bangsa lebih 80 tahun lalu.
Muzaffar Syah Mallow pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.