Bekas penolong setiausaha agung DAP, Ahmad Ton meninggal dunia

Bekas penolong setiausaha agung DAP, Ahmad Ton meninggal dunia

Ahmad Ton menyertai DAP pada 1975, pada waktu tidak ramai orang Melayu berbuat demikian.

Gambar Ahmad Ton menyertai DAP semasa mudanya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi DAP Johor Ahmad Ton meninggal dunia pagi ini di Batu Pahat, Johor. Beliau berusia 70 tahun.

Memaklumkan perkara itu, pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, sumbangan Ahmad sebelum ini merintis jalan kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat nasional dan juga negeri Johor, yang merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Liew berkata, Ahmad menyertai DAP pada 1975, pada waktu tidak ramai orang Melayu yang berbuat demikian.

Menurut timblan menteri pertahanan itu, Ahmad tertarik kepada politik DAP yang tidak berasaskan perkauman.

“Namun keluarganya tidak menyokong penyertaan beliau ke dalam DAP, maka beliau perlu menunggu sehingga arwah bapanya meninggal dunia sebelum menyertai parti,” katanya di Facebook.

Ahmad merupakan pengerusi DAP negeri bagi tempoh 2004 hingga 2005, dan sebagai naib pengerusi dari 2005 hingga 2013.

Di peringkat nasional, beliau merupakan penolong setiausaha agung dari 2004 hingga 2008 dan menganggotai Jawatakuasa Kerja Pusat DAP dari 1982 hingga 2012.

“Pada zaman sukar DAP, sejak mula bertanding pada 1982, Ahmad Ton berjuang tanpa rasa gentar di kerusi paling sukar seperti bekas kubu kuat BN di Tanjung Piai dan Labis.

“Bagi pihak DAP saya mengucapkan terima kasih terhadap kesetiaan, khidmat bakti dan pengorbanan beliau selama ini,” kata Liew.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.