
Sebaliknya veteran wartawan itu berkata, hanya Umno boleh menentukan “hidup atau mati Utusan”.
Menurut Kadir, beliau juga tahu yang Mahathir, perdana menteri dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak mahu Utusan terkubur.
Bagaimanapun tegas beliau, selagi Umno berkeras mengekalkan kawalannya ke atas Utusan, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh sesiapa pun.
“Jadi soal kakitangan bawahan Utusan bersedia untuk bekerjasama dengan ‘bos pengarang baru’ jika Mahathir sedia membantu, tidak timbul.
“Kita pun tidak mengharapkan apa-apa daripada media massa selain bagi mereka bersikap adil, profesional dan berkecuali.
“Mahathir tentulah tidak mahu Utusan mati kerana untuk sekian lama Utusan Melayu (jawi) dan Utusan Malaysia adalah akhbar bahasa Melayu pilihan beliau. Bagi bahasa Inggeris beliau membaca New Straits Times,” kata Kadir yang juga bekas ketua pengarang News Straits Times (NST).
Katanya, Mahathir berhenti memberi keutamaan kepada Utusan dan News Straits Times sejak era kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri kelima, kerana dua akhbar itu dan akhbar-akhbar lain juga digunakan secara terang-terangan untuk membunuh legasi beliau dan memburuk-burukkan beliau.
“Saya pun mempunyai sentimen yang sama. Saya tidak mahu Utusan terkubur. Sejak kecil saya membaca Utusan Melayu dan kemudian Utusan Malaysia. Malah saya kerap menulis dalam Utusan Malaysia hatta ketika menjadi pengarang NST,” kata beliau.
Kadir juga berkongsi bahawa kemungkinan ramai orang, termasuk pengamal media, tidak tahu bahawa pada zaman pentadbiran pertama Mahathir lah jualan akhbar mencapai angka tertinggi.
“Pada penghujung pentadbiran beliau tahun 2003, pengedaran Utusan Malaysia mengatasi 320,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia lebih setengah juta,” kata beliau lagi.
Kadir berkata beliau pada awalnya tidak mahu mengulas mengenai permintaan beberapa pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) yang mahu Mahathir membantu menyelamatkan Kumpulan Utusan.
Kumpulan Utusan kini menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan KOSMO!.
“Bagaimanapun, saya tergerak untuk mengulas sedikit setelah menerima pesanan WhatsApp daripada seorang ‘anak buah’ yang mewakili NUJ cawangan Utusan.
“Saya membalas: ‘Umno, Najib dan sidang pengarang Utusan wajib ambil tanggungjawab. Mereka yang menyebabkan maladi Utusan hari ini. Utusan hentam Tun kaw kaw.
“Ini adalah amalan zaman Najib dan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila media massa arus perdana terpaksa akur kepada ‘wahyu’ dari Putrajaya,” katad Kadir dan menambah, sekarang ada pemimpin NUJ Utusan yang memberitahu beliau bahawa “kerja-kerja penulisan politik adalah atas tindakan bos-bos pengarang dan mereka ini menerima imbuhan dan bayaran khas.”
“Kalau itulah keadaannya maka lagilah tidak wajar mengharapkan Mahathir campur tangan menyelamatkan Utusan.
“Dari dulu hingga kini Utusan adalah milik Umno. Malah daripada apa yang saya dengar, Umno tidak mahu jual Utusan macam ia jual sahamnya dalam Media Prima Berhad,” kata beliau.
Kadir juga berpandangan bahawa sekiranya kalau Umno tidak mahu jual, macam mana Mahathir atau mana-mana pihak juga hendak campur tangan membantu Utusan?
“Jawabnya Umno tidak mahu campur tangan luar. Ini diperkukuhkan oleh tindakan parti itu memberi bantuan modal RM1.6 juta kepada Utusan bulan lalu,” jelas beliau.