
Perdana menteri dapati kualiti yang ada pada Sultan Ismail Petra itu sepanjang hubungan baik antara mereka.
“Sultan Ismail Petra gering sekian lama dan tidak dapat menjalankan tugas sehingga anaknya terpaksa ambil alih kuasa di Kelantan.
“Saya sedih dengan kemangkatan, saya ucap takziah kepada keluarga,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung dari New York, Amerika Syarikat.
Sultan Ismail Petra mangkat pada jam 8.11 pagi tadi di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Sultan Ismail Petra merupakan bapa kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan menjadi Sultan Kelantan dari 30 Mac 1979 hingga 13 Sept 2010.
Sementara itu, jenazah Sultan Ismail Petra selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada pukul 7.20 malam tadi, lapor Bernama.
Jenazah dibawa dengan pedati diraja yang ditarik sejauh empat kilometer oleh kira-kira 50 anggota keselamatan daripada tentera dan polis ke Makam Diraja Langgar dari Istana Balai Besar.
Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad, Ketua Hakim Syarie Negeri Daud Muhammad dan Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Muhamad Hana Pizi Abdullah membacakan ayat-ayat suci al-Quran di atas pedati diraja.
Ribuan rakyat Kelantan yang bersedih di atas kepergian Sultan Ismail Petra berbaris di sepanjang jalan untuk memberi penghormatan terakhir.
Sebanyak 72 das tembakan meriam turut dilepaskan mengiringi jenazah Sultan Ismail Petra ke Makam Diraja Langgar.
Jenazah Sultan Ismail Petra kemudiannya disemadikan bersebelahan makam bapanya, Sultan Yahya Petra.
Terdahulu, Sultan Muhammad V, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan raja-raja Melayu bersama-sama solat jenazah di Balairung Seri, Istana Kota Lama yang diimamkan Shukri.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili kerajaan Persekutuan, dan suami Anwar Ibrahim turut hadir memberikan penghormatan terakhir.