Netizen disoal siasat dengan polis gara-gara Domino’s

Netizen disoal siasat dengan polis gara-gara Domino’s

Walaupun ramai yang gemar memilih pembelian secara online, namun perlu berhati-hati dengan sebarang penipuan yang mungkin menjerat anda.

Masyarakat kini gemar membeli belah menggunakan sistem online kerana ia lebih mudah dan pantas.

Namun dalam pembelian tersebut terdapat kes viral yang berlaku di mana seorang lelaki, Zacky Khairudean didakwa membuat pesanan Domino’s Pizza menggunakan “hack” atau “glitch” untuk mendapatkan pesanan murah.

Beliau yang menghantar e-mel kepada FMTOhsem berkata membuat pesanan tersebut setelah membeli voucher Domino’s dalam talian Shopee.

“Aku beli voucher Dominos dekat Shopee. Mereka ada ‘official store’ jual satu ‘regular’ pizza RM9.90. Kemudian aku jumpa penjual voucher RM5, memanglah cari yang murah dan berbaloi, dah nak dekat hujung tahun ini, banyak kelab dan persatuan sekolah nak buat jamuan akhir tahun, jadi aku beli secara pukal,” katanya menjelas situasi sebenar.

Selepas itu beliau memesan 10 set pizza dan menggunakan kupon yang dibeli sebelum ini, namun mendapati pesanan tersebut mempunyai masalah.

Zacky kemudiannya menerima panggilan daripada seorang sarjan daripada Unit Jenayah Komersial dan minta beliau datang berjumpa dengan sarjan tersebut di Domino’s atau di balai polis.

“Sampai je dekat Domino’s nampak macam tiga staf polis menunggu, bermulalah sejam soal siasat dari pihak polis dengan kehadiran wakil Dominos’s HQ dari Batu Pahat dan Pengurus cawangan (yang buat laporan), pertuduhan mereka adalah aku buat order pakai ‘hack’/ ‘glitch’ untuk dapat order murah. Jadi aku terpaksa tunjukkan step yang aku pakai dalam telefon bimbit serta-merta. Mereka siap ambil video lagi.

“Rupanya masa pagi aku buat pesanan itu, tak ada masalah. memang semua pesanan aku berjaya, tetapi bila aku buat depan mereka, sistem dia tunjukkan ‘error’, kononnya ‘late delivery voucher’ itu, kena ada pembelian minimum satu ‘personal’ pizza. Mereka tanya, macam mana aku boleh lepas pesanan?” jelasnya.

Ketika itu juga beliau mempersoalkan adakah dirinya yang bersalah kerana Domino’s dijual dalam talian online Shopee?

Postingnya itu turut dimuat naik dalam laman sosial Facebooknya hingga mendapat perhatian netizen dengan lebih 2,000 komen dan 2,600 yang berkongsi kisah itu.

Selepas itu, pihak Domino’s tidak meneruskan lagi laporan dan Zacky dikatakan terkilan kerana kes ini dibawa terus ke pihak polis tanpa menghubungi beliau terlebih dahulu.

Susulan daripada kes tersebut, Domino’s telah memohon maaf secara rasmi dan memberi 50% diskaun kepada para pelanggannya.

“Hi everyone (Hai semua), dengan apa yang telah terjadi, kami ingin menyusun sepuluh jari meminta maaf for what had happened (segala yang berlaku).

“Perkara ini adalah amat penting untuk diselesaikan secepat mungkin dan pihak HQ [ibu pejabat] kami telah pun berjumpa dengan customer tersebut untuk explain (terangkan) situasi ini,” tulis Domino di laman sosial Facebooknya.

Tambah Dominos lagi, pihaknya amat menghargai pelanggannya dan sering mencari penyelesaian dalam sebarang permasalahan yang berlaku.

Bagaimanapun, netizen yang mengetahui kisah ini daripada awal mengecam cara pihak Domino’s memohon maaf kepada pelanggan yang disifatkan tidak ikhlas.

Malah, netizen berpendapat pihak Domino’s Pizza sepatutnya memberikan ganti rugi kepada pelanggan tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.