
Kegagalan PBB hari ini seperti kegagalannya menangani jenayah kemanusiaan di Kemboja 30 tahun lalu, ketika negara itu bawah pemerintahan Khmer Rouge.
“PBB tidak mampu menolong selesaikan masalah yang dihadapi negara-negara kerana menganggap apa yang terjadi itu masalah dalaman.
“PBB mengecam dari luar tetapi kerajaan Myanmar tidak hairan dengan kecaman, mereka masih kata ini usaha melawan pengganas. Ini yang kita kecewa kerana kita tahu apa yang terjadi di Myanmar itu penghapusan bangsa.
“Dunia setakat kesal dengan kejadian itu,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung dari New York, Amerika Syarikat.
Ditanya mengenai maklum balas negatif Myanmar terhadap kritikannya, Mahathir berkata Malaysia bersedia kerana sebelum ini tiada sebarang maklum balas daripada Myanmar walaupun pelbagai cara sudah dibuat termasuk menghantar surat kepada pemimpinnya, Aung San Suu Kyi.
“Nampak Suu Kyi bersama dengan tentera mereka dan kelihatan tindakan ganas diambil oleh mereka,” katanya.
Kuasa veto
Mengulas cadangan supaya sistem veto diubah bagi mengelakkan salah guna kuasa, Mahathir berkata kuasa-kuasa besar dunia menganggap kuasa veto itu kekal milik mereka selama-lamanya.
Mahathir di perbahasan umum Perhimpunan Agung PBB ke-74 menyeri sistem veto diubah usai atau dimansuhkan sepenuhnya, serta menggesa badan dunia itu kembali kepada tujuan asal penubuhannya.
Perdana menteri mencadangkan kuasa veto hanya sah jika ia digunakan oleh dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga negara yang tidak mempunyai kuasa veto.
Cadangan ini bagi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.
“Negara yang memiliki kuasa veto tidak sepatutnya menganggap ia terkecuali daripada undang-undang dan norma-norma antarabangsa,” katanya.
Mahathir menjelaskan tiada perubahan yang berlaku walaupun lima negara yang menang dalam Perang Dunia Kedua tiga suku abad lalu iaitu China, Rusia, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat diberi kuasa veto.
“Dalam bidang sosial, usaha untuk menyelamatkan orang-orang tertentu dan juga dalam bidang kesihatan ini berjaya.
“… tetapi dalam bidang politik di mana kita melihat orang ditekan, diseksa, dibunuh, diusir keluar dari negara mereka, PBB nampaknya tak ada taring sama sekali,” katanya.