Thai lantik ketua perunding baru proses damai wilayah selatan

Thai lantik ketua perunding baru proses damai wilayah selatan

Wanlop akan menggantikan Jen Udomchai Thammasarorath, bekas komander tentera wilayah keempat.

Polis dan tentera Thailand menyiasat lokasi letupan di wilayah Narathiwat pada 11 Mac 2019. (Gambar AFP)
BANGKOK:
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Thailand Jen Wanlop Rugsanaoh dilantik sebagai ketua perunding baru proses damai selatan Thailand, berkuat kuasa 1 Okt.

Wanlop akan menggantikan tempat Jen Udomchai Thammasarorath, bekas Komander Tentera Wilayah keempat.

Udomchai dilantik sebagai senator pada Jun.

Pada sidang media, Wanlop berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha melantik beliau sebagai ketua baru kepada pasukan rundingan proses damai selatan Thailand dan pelantikan itu akan berkuat kuasa selepas beliau bersara dari NSC pada 30 Sept.

“Fasilitator Malaysia kekal,” katanya.

Malaysia memilih bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, badan yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand.

Wanlop berkata kerajaan Thailand komited untuk meneruskan proses damai di selatan untuk mengakhiri konflik selama beberapa dekad itu.

Mengenai perincian rundingan damai, beliau berkata terlalu awal untuk didedahkan.

“Saya akan memberikan butirannya selepas saya melapor diri sebagai ketua perunding baharu bagi dialog damai itu,” katanya.

Keganasan empat wilayah di Selatan Thailand – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla mengorbankan lebih 7,000 nyawa.

Sejak beberapa tahun yang lalu, Mara Patani mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thailand untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang telah berlanjutan sejak 2004.

Malaysia telah memudahkan rundingan damai di selatan Thailand antara Bangkok dan Mara Patani.

Bagaimanapun proses damai itu digantung sejak Februari berikutan kekecewaan kumpulan itu (Mara Patani) terhadap sikap yang ditunjukkan oleh ketua panel rundingan damai Thailand, Jen Udomchai, yang enggan bertemu panel rundingan Mara Patani di Kuala Lumpur.

Pada Julai, Mara Patani berkata proses damai untuk menamatkan konflik di selatan Thailand itu terhenti akibat kurangnya komitmen, keikhlasan dan keazaman politik yang kuat di pihak kerajaan Thailand.

Jurucakapnya, Abu Hafez Al-Hakim, juga menggesa pemimpin dan komuniti antarabangsa untuk membantu mencari penyelesaian politik bagi menamatkan keganasan di selatan Thailand.

Abu Hafez berkata pendekatan ketenteraan yang digunakan oleh kerajaan setakat ini gagal membendung insiden keganasan dan konfrontasi, malah permusuhan dan tindak balas oleh kumpulan pemisah semakin meningkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.