Sabar, jangan langgar akta, kata pemimpin PKR selepas inkues Adib

Sabar, jangan langgar akta, kata pemimpin PKR selepas inkues Adib

Fahmi Fadzil menyambut baik kenyataan polis untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak terbabit dalam kematian anggota bomba itu serta berharap polis dan peguam negara akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya.

Fahmi Fadzil ialah pengarah komunikasi PKR.
PETALING JAYA:
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menasihatkan semua pihak bersabar dan tidak bertindak menyalahi undang-undang, susulan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang merumuskan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat perbuatan jenayah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyambut baik kenyataan polis untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak terbabit dalam kematian Adib.

Beliau turut berharap polis bersama peguam negara akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.

“Saya juga berharap keputusan Mahkamah Koroner ini dapat memberi peluang untuk perbetul keadaan demi memastikan kejadian yang cukup menyedihkan ini tidak berulang lagi.

“Bagi saya, individu-individu yang terlibat dalam tindakan jenayah ini sehingga mengakibatkan kematian Allahyarham Adib wajib dibawa ke muka pengadilan. Keadilan buat Allahyarham Adib dan keluarganya adalah keadilan buat semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan kecederaan Adib disebabkan perbuatan jenayah dilakukan “dua atau lebih individu” yang “menarik, menghentak dan mengheret arwah”.

Inkues Adib bermula 11 Feb lalu susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Rofiah mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu, selepas mendapati keterangan 30 saksi mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah susulan rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Dis lalu, selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.