
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata dalam masa yang sama PH juga akan menolak sebarang kempen berteraskan idelogi perkauman dan agama yang sempit.
“Kita akan terangkan kepada rakyat mengenai dasar-dasar yang dibuat PH terutama mengenai program-program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita sesekali tidak akan membawa politik perkauman dan agama yang sempit dan dalam masa yang sama kita menggalakkan rakyat bersederhana (dalam bermain politik),” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal pada Ahad ini bagi membincangkan strategi yang akan digunakan PH pada PRK berkenaan.
“Semalam (kelmarin) juga telah diadakan mesyuarat di peringkat Amanah untuk membincangkan perkara berkenaan dan saya telah mengarahkan Amanah Johor untuk bersiap-siaga bagi menghadapi PRK Tanjung Piai,” katanya.

Ditanya adakah PH bakal menerima cabaran selepas Umno dan PAS menandatangani piagam pada 14 Sept lepas, Salahuddin berkata Amanah sedia berhadapan dengan gabungan baharu itu.
Penyandang Parlimen Tanjung Piai yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia pada Sabtu lepas akibat serangan jantung.
Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan bahawa mesyuarat khas akan diadakan pada 1 Okt ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Tanjung Piai.