Polis akan siasat, dakwa individu serang Adib ke mahkamah, kata Muhyiddin

Polis akan siasat, dakwa individu serang Adib ke mahkamah, kata Muhyiddin

Menteri dalam negeri itu berkata, polis akan meneruskan siasatan kes kematian anggota bomba itu menggunakan undang-undang jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, polis akan menyiasat kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim secara terperinci dan memastikan individu bertanggungjawab didakwa di mahkamah, selepas Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian anggota bomba itu disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih individu.

“Kerajaan menerima keputusan inkues kematian Muhammad Adib dan menyerahkan kepada pihak polis meneruskan siasatan kes ini menurut undang-undang jenayah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Koroner, Rofiah Mohamad merumuskan Adib cedera parah akibat perbuatan jenayah dilakukan “dua atau lebih individu” yang “menarik, menghentak dan mengheret arwah”.

Beliau turut merumuskan kegagalan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov lalu, antara punca yang menyumbang kepada kematian Adib.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pula dilaporkan berkata, polis akan menyiasat dan mengenal pasti pihak terbabit dalam kematian Adib.

Katanya, beliau akan berbincang dengan pegawainya di Bukit Aman untuk menentukan langkah seterusnya, termasuk sama ada akan memanggil semula beberapa individu yang ditahan sebelum ini.

Adib meninggal dunia pada 17 Dis lalu, selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.