
Naib Canselor UniSZA, Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, cadangan yang diyakini mampu memberi manfaat kepada kedua-dua universiti itu bakal mencetus era baru yang mengubah landskap sektor pendidikan tinggi di negara ini.
“Sekiranya penggabungan UniSZA dan UMT berjaya, tidak mustahil universiti lain akan terlibat sama pada masa depan.
“Kita tidak tahu pada masa depan kalau penggabungan UMT dan UniSZA akan lonjakkan universiti. Penggabungan kadangkala akan menjadikan sesebuah universiti lengkap,” katanya.
Jemaah menteri yang bermesyuarat pada 4 Sept lepas bersetuju secara prinsip dengan penggabungan UMT dan UniSZA sebagai satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi.
Dalam temubual eksklusif baru-baru ini, Hassan Basri berkata, proses penggabungan universiti bukanlah suatu perkara baru kerana ia turut berlaku di universiti terkemuka dunia, termasuk Paris-Sorbonne University dan Pierre Marie Curie University (UPMC) di Perancis yang mempunyai pengkhususan dalam bidang berlainan, iaitu sains sosial dan perubatan.
“Dua universiti ini adalah universiti tersohor di dunia dan melahirkan ramai pemikir hebat serta pakar dalam bidang masing-masing,” katanya yang turut menyatakan melalui inisiatif penggabungan, kedua-dua universiti di Perancis itu mampu bergerak dengan lebih baik dan mempunyai dana mencukupi.
Beliau yang mengambil alih kepimpinan UniSZA pada Februari lalu berkata, dalam merealisasikan cadangan penggabungan itu, semua pihak perlu mengetepikan ego, berpandangan jauh dan melaksanakan hasrat kerajaan.
“Pada saya isunya ialah bagaimana nak laksanakan… perbezaan pendapat harus dilumatkan. Kita baru bermula…ada lima bulan lagi. Kita dah duduk berbincang dengan UMT. Kita kena sentiasa positif walaupun di hadapan tu ada pahit manis,” katanya.
Mengulas lanjut, Hassan Basri menegaskan cadangan penggabungan itu akan memberi manfaat lebih besar kepada komuniti setempat dan menolak pandangan ia akan mengecilkan jumlah kakitangan universiti.
Dalam pada itu, Hassan Basri berkata, UniSZA juga sedang merangka beberapa strategi ke arah penjanaan pendapatan sendiri bagi menyahut seruan kerajaan yang mahu setiap universiti memiliki sumber pendapatan dalam merancakkan lagi pembangunan universiti.
Selain beberapa cabang perniagaan di bawah UniSZA Holding, pihaknya akan memanfaatkan pembinaan hospital pengajar UniSZA sebagai antara sumber pendapatan apabila ia dijangka siap pada Jun tahun hadapan.
“Sebagai sebuah hospital awam yang didirikan dengan wang kerajaan…maka menjadi tanggungjawab sosial UniSZA untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam.
“Bagaimanapun pada masa sama kita perlu fikir dan cari jalan bagaimana hospital ini boleh memberi pendapatan kepada universiti tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial yang diamanahkan oleh kerajaan,” katanya.
Penggabungan itu diharap mampu melonjakkan bidang tujahan utama UMT seperti marin, maritim dan oseanografi manakala UniSZA dengan pengajian Islam dan perubatan.