Parti politik kampus pro-Umno, PAS bakal bergabung?

Parti politik kampus pro-Umno, PAS bakal bergabung?

Pemuda PAS berkata parti itu mengharapkan segala bentuk strategi politik boleh diadaptasi hingga ke peringkat akar umbi.

PAS dan Umno menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, parti itu mengharapkan segala bentuk strategi politik boleh diadaptasi hingga ke peringkat akar umbi.

Katanya, jika gabungan itu berlaku, ia juga berupaya menguatkan lagi suara dan idea yang dibawa mahasiswa kepada kerajaan.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan mahasiswa di kampus. Pada kami, kami harapkan boleh berlakunya penggabungan supaya suara mereka boleh didengari kerajaan,” katanya kepada FMT.

Khairil berkata, gabungan itu sebagai naratif baru dalam politik golongan muda yang mendidik mahasiswa berkerjasama dalam beberapa hal.

“Seperti mana yang kita idamkan di peringkat politik negara, kita harapkan ia juga berlaku di peringkat bawah,” katanya.

Kumpulan politik kampus yang mendukung dasar kerajaan sebelum ini yang dikenali sebagai Pro-Aspirasi merupakan proksi utama dalam pilihan raya kampus kerana menjadi suara rasmi mahasisiwa di hampir semua univerisiti awam.

Media pernah melaporkan, kemenangan yang diraih Pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus menjadi perhatian bekas presiden Umno Najib Razak ketika beliau masih menyandang jawatan tersebut.

Manakala kumpulan politik kampus yang memihak kepada dasar dan prinsip perjuangan PAS yang dikenali sebagai Pro-Mahasiswa (Pro-M) menjadi proksi pembangkang yang kuat di hampir seluruh universiti awam.

Bagaimanapun, Pro-M menemui jalan buntu apabila gabungan Pakatan Rakyat berpecah dan PAS meninggalkan PKR dan DAP pada 2016 menyebabkan banyak kumpulam Pro-M mengubah haluan. Malah, terdapat juga yang bangkit menggunakan nama lain.

Beregu antara Pro-Aspirasi dan Pro-M dalam pilihan raya kampus menjadi tradisi sejak sekian lama sehingga menyaksikan ramai aktivis politik muda pernah ditahan dan digantung pengajian kerana menganjurkan aktiviti melibatkan ahli politik pembangkang ke dalam kampus.

Antaranya, mahasiswa Universiti Malaya (UM) Fahmi Zainol yang menarik perhatian ramai apabila menjemput Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ke “Program 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara” di Dataran Tunku Canselor, pada Oktober 2014.

Minggu lalu, FMT dimaklumkan oleh bekas pemimpin mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bahawa berlakunya gerakan gabungan kedua-dua proksi ini secara besar-besaran di universiti dalam negara.

“Ini berdasarkan arahan pihak atasan. Mereka sedang pastikan, sama ada nak guna satu logo yang sama ataupun tidak pada pilihan raya kampus bagi sidang akademik tahun ini,” kata sumber yang mahu dikenali sebagai Amin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.