Malaysia bincang potensi perkenal program Primary Engineer

Malaysia bincang potensi perkenal program Primary Engineer

Pengerusi Global Education Abdul Rahman Mohamed Shariff berkata Primary Engineer merupakan skim pembelajaran yang memberi ruang kepada murid sekolah rendah menerokai kejuruteraan bermula usia lima tahun.

Maszlee Malik mendengar penjelasan Profesor Keith Ridgway mengenai program Primary Engineer di Putrajaya semalam.
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Maszlee Malik membincangkan potensi memperkenalkan program Primary Engineer bersama pengasasnya dari United Kingdom di Putrajaya semalam.

Pengerusi Global Education Abdul Rahman Mohamed Shariff berkata Primary Engineer merupakan skim pembelajaran yang memberi ruang kepada murid sekolah rendah menerokai kejuruteraan bermula usia lima tahun.

“Program Primary Engineer memperakui bahawa pemikiran kerjaya kejuruteraan pada usia 16 agak sudah terlewat dan oleh itu, minat mengenainya perlu dijana sejak usia muda lagi.

“Pada kanak-kanak berusia lima tahun, sebagai contoh, mereka mampu merancang dan membina kereta menggunakan bahan-bahan yang mudah,” kata beliau kepada FMT.

Kata Abdul Rahman, menarik minat anak-anak muda dalam bidang kejuruteraan adalah penting kepada ekonomi masa depan dan kemakmuran Malaysia.

“Kami gembira dapat menyokong program ini dan berharap dapat mengembangkan di seluruh Malaysia.”

Pertemuan semalam turut dihadiri Pengasas Primary Engineer UK, Susan Scurlock dan Jennifer Scurlock serta Profesor Keith Ridgway, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Advanced Manufacturing Research Centre (AMRC).

Maszlee Malik menunjukkan model kereta dihasilkan murid yang mengikuti program Primary Engineer yang dihadiahkan.

Di bawah program Primary Engineer, kata Abdul Rahman, para guru akan diberi latihan asas dan kemudian sekolah akan dipasangkan dengan jurutera profesional.

Katanya, selepas beberapa reka bentuk asas dan membuat projek, kanak-kanak bekerja dengan seorang jurutera bagi mereka bentuk produk inovatif untuk menyelesaikan masalah setiap hari.

“Ini telah menghasilkan beberapa produk ke pasaran dan sekurang-kurangnya menggalakkan kanak-kanak untuk bertindak dalam pasukan bagi menyelesaikan masalah,” kata beliau lagi.

Program itu telah diperkenalkan di lebih 7,000 buah sekolah di UK dan baru-baru ini diperkenalkan secara percubaan di Eton House School Malaysia, kata Abdul Rahman lagi.

Dalam pada itu, Susan berkata, “kami gembira kerana mendapat peluang untuk meneruskan usaha kami di Malaysia dan telah mendapat dorongan sangat kuat daripada Maszlee.”

“Kami berharap dapat memperkenalkan program ini di seluruh Malaysia secepat mungkin dan menggalakkan kanak-kanak lelaki dan perempuan mengambil kerjaya dalam bidang kejuruteraan,” kata beliau lagi.

Jennifer pula berkata, pihaknya telah berjaya dengan program ini dan Malaysia adalah destinasi pertama kami memperkenalkan Primary Engineer selepas UK.

“Ini adalah peluang yang sangat menarik,” kata beliau lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.