Jokowi timbang batal undang-undang anti rasuah selepas protes pelajar

Jokowi timbang batal undang-undang anti rasuah selepas protes pelajar

Puluhan ribu menyertai perhimpunan terbesar sejak protes pelajar 1998 yang menumbangkan bekas presiden Suharto.

Indonesian President Joko Widodo. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Presiden Indonesia Joko Widodo berkata pada Khamis bahawa beliau kini menimbang untuk membatalkan undang-undang baru yang mengawal agensi anti rasuah negara itu yang menimbulkan kebimbangan aktivis dan mendorong protes besar-besaran pelajar dalam tempoh beberapa dekad.

Dalam satu ucapan di TV, Jokowi berkata beliau menerima banyak maklum balas berhubung undang-undang baru itu termasuk sama ada beliau akan menggunakan kuasanya untuk menggantikannya dengan satu peraturan semata-mata.

“Tentu kita akan menimbangkannya, menilainya dengan segera,” katanya kepada pemberita.

Komisi Pemberantasan Rasuah (KPK) telah mendakwa beratus-ratus orang ahli politik, pegawai awam dan ahli perniagaan sejak ia ditubuhkan pada 2002, dan muncul sebagai agensi kerajaan yang paling dihormati.

Aktivis berkata semakan ke atas undang-undang yang diluluskan Parlimen minggu lepas akan menggugat usaha memerangi rasuah. Perubahan tersebut termasuklah menyekat kebebasan agensi untuk mengintip dengar suspek dan mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk memantau agensi berkenaan.

Kemarahan terhadap undang-undang baru itu dan rancangan untuk menyemak kanun jenayah Indonesia yang akan mengharamkan hubungn seks luar nikah serta menghukum perbuatan menghina presiden telah mencetuskan protes pelajar.

Puluhan ribu menyertai perhimpunan terbesar sejak protes pelajar 1998 yang mencetuskan kekacauan dan membawa kepada tumbangnya bekas presiden Suharto.

Jokowi menangguhkan pengundian di Parlimen berkait kanun jenayah itu, yang akan menggantikan undang-undang era kolonial Belanda dengan berkata, persidangan baru Parlimen perlu menyemak undang-undang itu bulan depan.

Pada Khamis, Jokowi juga berkata beliau akan melihat maklum balas sama ada “ia terlalu masuk campur dalam kehidupan peribadi dan beberapa perkara lain, termasuk undang-undang menghina presiden”.

Sewaktu cadangan pengharaman hubungan seks luar nikah mendapat perhatian di luar negara, namun rang undang-undang itu meliputi 628 perkara kesemuanya dan bantahan terhadapnya di negara dengan penduduk seramai 260 juta orang itu adalah berkaitan kebimbangan lebih luas daripada persoalan seks semata-mata.

Rang undang-undang itu juga menghukum individu yang mengajar ideologi Marxis-Leninis serta wanita yang menggugurkan kandungan bukan kerana darurat kesihatan atau rogol.

Protes pelajar bertukar ganas

Protes pelajar di beberapa bandar raya bertukar ganas di beberapa tempat dengan pasukan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air dengan lebih 300 cedera di Jakarta.

Seorang pelajar maut selepas ditembak dalam satu protes di luar bangunan Parlimen di Kendari di pulau Sulawesi, CNN Indonesia memetik kenyataan komander tentera Yustinus Nono Yulianto.

Seorang pelajar lain cedera parah di bahagian kepala di Jakarta, menurut pegawai dan pihak universiti.

Amnesty International berkata, pihak berkuasa “harus menjalankan siasatan segera dan bebas berhubung keganasan polis terhadap pelajar terlibat protes”.

Sekurang-kurangnya 200 ditangkap sejak protes bermula pada Isnin, kata ketua polis nasional Tito Karnavian dalam satu sidang media.

Menteri Keselamatan Indonesia Wiranto dilaporkan berkata, protes pelajar berkenaan digunakan oleh satu kumpulan yang bertujuan mengganggu Parlimen dan permulaan penggal kedua Presiden Jokowi bulan depan.

“Demonstrasi ganas itu dilakukan oleh perusuh, yang menyerang polis, membaling batu, melepaskan mercun ke arah pegawai…mereka mahu mencari mangsa,” kata Wiranto.

Jokowi dijadualkan mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua pada 20 Okt selepas memenangi pilihan raya umum tahun ini.

Wiranto tidak menamakan kumpulan yang menurutnya memanipulasi protes itu, tetapi beliau menyebut tentang usaha menarik kumpulan radikal Islam, penyokong bola sepak dan persatuan pekerja menyertai perhimpunan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.