Bunuh bintang media sosial Pakistan, abang dipenjara seumur hidup

Bunuh bintang media sosial Pakistan, abang dipenjara seumur hidup

Enam lagi tertuduh dibebaskan. Mereka termasuklah dua saudara lelaki Baloch, sepupunya, jiran, pemandu, dan ulama Islam.

Bintang media sosial Pakistan, Qandeel Baloch yang dibunuh pada 2016. (Gambar AFP)
LAHORE:
Mahkamah Pakistan menyabitkan seorang lelaki berhubung kesalahan mencekik hingga mati adiknya – bintang media sosial, Qandeel Baloch tig tahun lalu, yang turut membawa kepada desakan perubahan dalam undang-undang mengenai ‘pembunuhan maruah keluarga” membabitkan kaum wanita.

Mahkamah bandar Multan di timur Pakisten pada Jumaat mendapati Muhammad Waseem bersalah membunuh adiknya dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

“Waseem dihukum penjara seumur hidup,” kata peguam, Sardar Mehboob kepada
Reuters melalui telefon selepas keputusan itu disampaikan.

“Pastinya kita akan merayu di mahkamah tinggi.”

Enam lagi tertuduh dibebaskan. Mereka termasuklah dua saudara lelaki Baloch, sepupunya, jiran, pemandu, dan ulama Islam.

Pada sidang media pada 2016 yang dianjurkan polis, Waseem mengaku dia telah mencekik adiknya berusia 26 tahun akibat kegiatan di media sosial.

Dalam Facebook, Qandeel telah mencatatkan impian dia untuk mengubah “minda ortodoks” rakyat Pakistan. Dia menghadapi ancaman dan ugutan tetapi terus menghantar gambar dan video yang provokatif.

Muhammad Waseem didapati bersalah membunuh Qandeel Baloch dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. (Gambar AFP)

Qandeel, nama sebenarnya Fauzia Azeem, digambarkan sebagai Kim Kardashian Pakistan dan telah membina kerjaya pemodelan di belakang kemasyhuran media sosial, tetapi pada masa yang sama menarik perhatian ramai di negara Asia Selatan yang konservatif itu.

Pembunuhannya menyebabkan kejutan di seluruh Pakistan dan mencetuskan simpati di media sosial, dan mendorong kerajaan untuk mengetatkan undang-undang bagi memastikan mereka melakukan pembunuhan maruah tidak bebas meskipun anggota keluarga memaafkan mereka.

Media tempatan melaporkan bulan lalu yang ibu bapa Waseem telah mengampuni anak mereka itu dan meminta dia dibebaskan. Reuters tidak dapat menghubungi mereka untuk ulasan.

Beratus-ratus wanita dibunuh setiap tahun di Pakistan oleh anggota keluarga atas alasan “maruah”.

Pakar hak wanita pula mendakwa penguatkuasaan keadilan sering tidak menjadi kenyataan, manakala prosiding mengambil masa yang lama sementara tertuduh pula dibebaskan dengan ikat jamin.

“Ia mengambil masa yang lama, orang lupa,” kata Farzana Bari, seorang peguam bela wanita dan pengasas jabatan kajian jantina pertama di sebuah universiti, sambil menambah, kes Qandeel yang berprofil tinggi telah mengambil masa tiga tahun untuk diselesaikan.

Walaupun kumpulan hak asasi mengatakan data yang boleh dipercayai sukar diperoleh, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan menemui sekurang-kurangnya 300 kes “pembunuhan maruah” pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.