
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Zulkifli Zainal Abidin berkata permohonan itu merupakan hak peribadi pelakon serta pelawak veteran itu, Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie.
“Kita kena hormati apa sahaja yang beliau kehendaki, kita menunggu proses seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan acara Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-86 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.
Bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’, perbarisan itu disertai 54 pegawai dan 868 anggota lain-lain pangkat serta melibatkan 12 kontinjen termasuk tiga kontinjen wanita daripada setiap perkhidmatan ATM.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) Jen Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima TLDM Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jen Affendi Buang.
Menjelas lanjut, Zulkifli berkata selepas kesemua urusan dan keputusan muktamad diperoleh, pihaknya akan memanggil keluarga Allahyarham Mohd Zahir untuk diberi penerangan terperinci.
“Kita kena tunggu apabila semua dah selesai. Kita bukan saja tidak maklum malah sentiasa berhubung dan lawatan dibuat hampir setiap hari kepada keluarga arwah,” katanya yang yakin TDM akan mengambil tindakan sewajarnya.
Semalam, Badul dan ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu dan mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian pegawai komando tersebut.
TDM juga telah mengesahkan insiden kematian pegawai komando itu sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan berkenaan dibuat oleh Lembaga Siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.