Adun PBS sertai Warisan

Adun PBS sertai Warisan

Abdul Rahman merupakan Adun kedua menyertai Warisan selepas Adun Tandek Anita Baranting pada 6 Mac lepas.

Adun Labuk Abdul Rahman Kongkawan menyerahkan borang permohonan keahlian Warisan kepada ketua menteri dan presiden parti itu Shafie Apdal di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Abdul Rahman Kongkawang hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Abdul Rahman yang juga naib presiden PBS menyerahkan borang keahlian kepada presiden Warisan merangkap Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal di sini.

Abdul Rahman merupakan Adun kedua menyertai Warisan selepas Adun Tandek Anita Baranting pada 6 Mac lepas.

Pada pilihan raya umum ke-14, beliau yang sebelum itu merupakan pegawai pembangunan masyarakat Dewan Undangan Negeri Labuk pertama kali bertanding mewakili PBS menggantikan penyandang kerusi itu Michael Asang.

Beliau menang dengan majoriti 2,600 undi selepas menewaskan Ramsah Tasim daripada Warisan, Rainus Awang (Parti Soladariti Tanah Airku) dan James Miki (Parti Cinta Sabah).

Bercakap pada sidang media selepas menyerahkan borang keahlian kepada Mohd Shafie, Abdul Rahman berkata penyertaannya ke dalam Warisan bukan atas faktor peribadi, tetapi demi pembangunan kawasan DUN Labuk yang diwakilinya.

“Atas faktor ini, saya mengambil keputusan meninggalkan parti (PBS) yang saya sertai sejak 20 tahun lepas.

“Keperluan pembangunan di kawasan DUN Labuk menjadi keutamaan saya dan ia dapat dilaksanakan dengan menyertai parti peneraju kerajaan negeri Sabah iaitu Warisan,” katanya.

Beliau berkata, penyertaannya ke dalam Warisan membolehkan dia memberi lebih tumpuan terhadap pembangunan untuk rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.