
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu ke atas Maimunah atau nama sebenarnya Tran Thi Mai, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.
“Setelah mahkamah meneliti hujahan dan keterangan saksi daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Mahkamah juga mendapati pihak pembelaan gagal memberikan penjelasan untuk mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” kata hakim.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda lima kali jumlah suapan (RM1.5 juta) atau gagal bayar penjara 12 bulan.
Rozina menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda lima kali jumlah suapan (RM250,000) atau gagal bayar penjara enam bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Tertuduh didakwa memberi rasuah wang berjumlah RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Amran Daud, 55, yang merupakan pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor, sebagai dorongan melepaskan tiga buah bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi, yang disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.
Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Hot Gossip Cafe, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara jam 6.30 petang dan 7.30 malam, 2 Mei 2017 mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Tran melakukan perbuatan sama berjumlah RM50,000, bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam dan kesalahan dilakukan di Restoran Starbucks, Pearl Point Shopping Mall di sini, pada jam 4 petang, 12 Mei 2017 mengikut seksyen serupa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan rasuah yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana melibatkan jumlah yang besar, iaitu RM350,000.
“Saya memohon supaya mahkamah memberikan hukuman berat kepada tertuduh agar dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga masyarakat umum supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Haijan Omar merayu hukuman penjara dan denda minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai kesalahan lampau.
“Anak guam saya merupakan seorang ibu tunggal dan perlu menjaga empat anaknya yang masih bersekolah. Anak guam saya tinggal di negara ini sejak tahun 2017 dan datang ke negara ini bukan untuk berniat jahat,” katanya.
Haijan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, bagaimanapun hakim Rozina menolak permohonan itu.
“Mahkamah berharap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu dan warga negara asing yang lain untuk tidak melakukan kesalahan yang sama di negara ini,” katanya.
Sepanjang perbicaraan yang bermula Disember 2017, seramai 38 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.