Pemimpin PKR rujuk kes Zuraida kepada lembaga disiplin

Pemimpin PKR rujuk kes Zuraida kepada lembaga disiplin

Aduan rasmi telah dihantar kepada pengerusi Lembaga Disiplin PKR pada Selasa, kata Abdullah Sani.

Zuraida Kamaruddin.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR pusat mengesahkan aduan rasmi terhadap Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin lain kerana melanggar peraturan parti dengan sengaja tidak menghadiri mesyuarat telah dihantar kepada lembaga disiplin.

Abdullah Sani Abdul Hamid, juga ahli parlimen Kapar berkata, beliau menghantar aduan rasmi kepada Pengerusi Lembaga Disiplin Ahmad Kassim pada Selasa menerusi e-mel dan turut mengirim laporan berkenaan ke kediamannya.

“Saya minta tindakan disiplin diambil kerana dia (Zuraida) didakwa melanggar peraturan majlis tertinggi parti. Dia kena jawab,” katanya kepada FMT.

“Ada beberapa nama lagi yang saya turut namakan, bagaimanapun saya tidak boleh bocorkan siapakah pemimpin lain yang saya maksudkan kerana bimbang akan menggugat kerahsiaan pentadbiran parti,” tambah beliau.

Fasal 41.3 perlembagaan PKR menyatakan lembaga disiplin boleh memulakan siasatan terhadap salah laku disiplin mana-mana anggota parti tanpa perlu aduan daripada mana-mana pihak.

Sebelum ini, Abdullah Sani dilaporkan berkata, tindakan disiplin perlu diambil terhadap Zuraida yang juga anggota Kabinet serta beberapa pemimpin lain kerana tidak menghadiri mesyuarat, tindakan yang dilihat menjejaskan imej parti.

Abdullah berkata pertelagahan antara pemimpin hanya boleh diselesaikan di meja rundingan dan mesyuarat parti platform terbaik untuk menyelesaikan isu dihadapi ketika ini.

Zuraida bertegas ingin bertemu Anwar bersama pemimpin tertentu, tetapi presiden PKR itu menegaskan tiada keperluan untuk satu pertemuan khas kerana mereka boleh bertemu dalam mesyuarat biro politik setiap Rabu dan mesyuarat majlis pimpinan pusat setiap bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.