
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Masridzi Sat berkata penganjuran solat hajat di beberapa madrasah dan masjid di setiap negeri itu sebagai ikhtiar untuk memohon keputusan inkues itu memihak kepada keluarga Adib.
“Kita harapkan yang terbaik esok. Kita yakin mahkamah akan berikan keputusan yang baik selepas menelitik bukti-bukti yang ada.
“Disebabkan kejadian ini, masyarakat Islam di Malaysia lebih bersatu padu. Biar orang buat dekat kita, kita tunjukkan teladan dan akhlak yang baik,” katanya selepas menunaikan solat hajat bersama lebih 200 jemaah lelaki dan wanita di Masjid Wilayah Persekutuan malam ini.
Solat hajat itu diketuai Imam Kanan Masjid Wiayah Persekutuan, Mohd Zamri Abd Halim.
Petang tadi, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memberitahu FMT pihaknya berharap koroner akan memutuskan anaknya meninggal dunia akibat kecederaan parah kerana dipukul, bukannya dilanggar jentera bomba.
Masridzi berkata, Ummah akan ke Kompleks Mahkamah Shah Alam esok untuk menunggu keputusan inkues itu.
Beliau memberi jaminan Ummah tidak akan membuat sebarang provokasi dalam himpunan solidariti esok seperti yang mereka janjikan dalam mesyuarat dengan polis Selangor semalam.
Beliau tidak pasti anggaran peserta yang akan menyertai himpunan solidariti esok, tetapi katanya: “Bakal melimpah jugalah ruang mahkamah esok sebabnya mahkamah itu pun kecil, atas bukit pula, ianya sempit”.
Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika rusuhan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018.
Beliau meninggal dunia pada 17 Dis lalu, tiga minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.
Inkues bagi menentukan punca kematian Adib bermula 11 Feb lalu, susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.
Koroner, Rofiah Mohamad mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu, selepas mendapati keterangan 30 saksi mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.