
FREETOWN: Sekurang-kurangnya 50 orang dikhuatiri terbunuh selepas bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Bo, bandar kedua terbesar di Sierra Leone, memetik penyiar tempatan, lapor agensi berita Anadolu.
Penolong Ketua Polis Saidu Kamara berkata kepada Radio Demokrasi Sierra Leone, dalam kejadian pada Rabu itu 10 mangsa diselamatkan tetapi sekurang-kurangnya 50 lagi dikhuatiri masih terperangkap.
“Mangsa yang diselamatkan dihantar ke hospital kerajaan Bo. Suasana suram menyelubungi lokasi kejadian. Anggota penyelamat akan meneruskan usaha mencari dan mencuba untuk menyelamatkan lebih ramai lagi mangsa,” katanya.
Punca kemalangan itu masih belum diketahui.
Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu saudara-mara mangsa, golongan belia dan kakitangan kecemasan.