Dilabel anti-Yahudi, Universiti Columbia digesa batal syarahan Dr M

Dilabel anti-Yahudi, Universiti Columbia digesa batal syarahan Dr M

Presiden Universiti Columbia, Lee Bollinger mempertahankan undangan untuk Mahathir Mohamad berucap di universiti tertua di New York itu hari ini.

Dr Mahathir Mohamad sering didakwa anti-Yahudi berdasarkan kenyataannya terhadap Yahudi dan Israel.
PETALING JAYA:
Pengkritik membangkitkan komen Dr Mahathir Mohamad mengenai Yahudi sebagai bukti beliau anti-Yahudi dan menggesa ucapannya dalam sebuah forum di Universiti Columbia di New York hari ini dibatalkan.

Mahathir, menerusi bukunya “The Malay Dilemma” yang menyifatkan orang Yahudi “bukan sekadar berhidung belantuk, tetapi amat memahami wang”, turut berkata dalam ucapannya di Cambridge Union pada Jun lalu, beliau “mempunyai kawan Yahudi, kawan yang sangat rapat”.

“Mereka tidak seperti orang Yahudi lain, itu sebabnya mereka kawan saya,” katanya.

New York Post menerusi lidah pengarangnya hari ini berkata, Universiti Columbia yang merupakan institusi pengajian tinggi tertua di New York “gembira menganjurkan ucapan kebencian”.

Dengan menyifatkan Mahathir ialah “anti-Yahudi secara terang-terangan”, akhbar itu memetik Presiden universiti berkenaan, Lee Bollinger yang mempertahankan undangan untuk Mahathir dengan berkata: “Pembabitan terbuka seperti ini kadangkala sukar, bahkan menyakitkan. Tetapi untuk membatalkan aktiviti ini akan mengehadkan kemampuan kita untuk memahami dan berdepan dunia sekarang.”

“Kami menunggu beliau menyatakan standard bagi speaker kontroversi lain yang bukannya anti-Yahudi diundang ke kampus.”

Mahathir yang sering mengkritik dasar Israel, berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74.

Beliau mempertahankan ucapannya di England dengan berkata, ia hanya pendapatnya dan beliau mengamalkan kebebasan bersuara.

Sementara itu, Mahathir ketika berucap di Oxford Union Society, London, Januari lalu, berkata beliau mempunyai hak mengkritik dasar Israel seperti pengkritiknya berhak melabelkannya anti-Yahudi.

“Itu hak mereka untuk mempunyai pandangan sedemikian terhadap saya. Ia adalah hak saya untuk beritahu mereka juga yang mereka melakukan banyak perkara salah.”

Bagaimanapun, seorang pemimpin Yahudi terkemuka di Amerika Syarikat mempertahankan keputusan Universiti Columbia mengundang Mahathir dengan berkata ia “konsisten dengan dwistandard terhadap orang Yahudi, yang tidak akan bertolak ansur dengan orang yang mengkritik individu berkulit lain, gay atau golongan minoriti lain.”

Dalam sepucuk surat kepada Bollinger yang dipetik akhbar Yahudi berpangkalan di New York, The Algemeiner, Presiden Kongres Yahudi Sedunia, Ronald Lauder berkata beliau akan menggesa kawannya berhenti menyumbang kepada universiti itu “sehingga pemerintah kuku besi yang anti-Yahudi tidak lagi dialu-alukan di kampus anda”.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka “Pelajar Menyokong Israel di Universiti Columbia” atau SSI Columbia melancarkan satu petisyen di change.org untuk menggesa Bollinger membatalkan ucapan Mahathir atau mengecam perdana menteri secara terbuka di pentas mendapat lebih 3,000 tandatangan setakat ini.

SSI Columbia berkata, Mahathir berhak menyuarakan pendapatnya, tetapi universiti itu tidak melindungi hak perdana menteri itu untuk kebebasan bersuara dengan membenarkan beliau berucap di kampus.

“Sebaliknya, ia menyebabkan kredibiliti salah sebuah universiti paling berprestij di Amerika terdedah kepada kritikan anti-Yahudi yang dahsyat dan menjejaskan rasa selamat dan kekitaan yang rapuh dalam kalangan pelajar Yahudi Columbia.”

“Kebebasan bersuara ialah hak asasi penting mana-mana individu yang hidup dalam masyarakat bebas. Mahathir boleh cakap apa yang beliau mahu, sudah tentu – itu ialah kebebasan bersuara. Tetapi, undangan berucap di Universiti Columbia – atau di mana-mana universiti – ialah satu penghormatan, bukannya hak.

“Ini tiada kaitan dengan kebebasan bersuara atau kebebasan akademik. Ia adalah tatasusila akademik yang asas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.