Sukar dapat keterangan kanak-kanak mangsa jenayah seksual, kata polis

Sukar dapat keterangan kanak-kanak mangsa jenayah seksual, kata polis

Mangsa terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku atau tidak berani, kata pegawai polis di seminar menangani isu pedofilia.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata tidak ada takrif khusus bawah undang-undang yang menyatakan secara spesifik berkaitan pedofil.
GOMBAK:
Polis akui sukar menyelesaikan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak, kerana kebiasaannya keluarga mangsa tidak membantu siasatan, kata Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan.

Siti Kamsiah berkata mendapatkan keterangan daripada kanak-kanak mangsa jenayah seksual antara cabaran yang dihadapi polis, sama ada kerana mangsa terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku atau tidak berani menceritakannya.

“Ini menyebabkan kita tidak cukup maklumat untuk membuktikan kes,” katanya di Seminar Mengenalpasti Strategi Menangani Isu Pedofilia Kanak-Kanak di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Siti Kamsiah menarik perhatian peserta seminar kepada kes Richard Huckle, seorang warga British yang datang ke Malaysia sebagai seorang pendakwah agama dan guru bahasa.

Polis percaya ada potensi Huckle menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya namun kesukaran mendapatkan kerjasama ahli keluarga menyebabkan Malaysia gagal menuduhnya.

Media melaporkan polis menghubungi 320 orang dewasa dan 101 kanak-kanak dalam siasatannya.

Warga British itu dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah British pada 2016 selepas mengaku bersalah atas 71 pertuduhan penderaan seks terhadap kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga 12 tahun di Malaysia dan Kemboja.

Antara 2012 hingga Februari 2019, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati sebanyak 5,052 kes pedofilia dan penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan, 3,000 orang didakwa dan 639 pesalah dikenakan tindakan undang-undang.

Video lucah

Ditanya adakah menyimpan pornografi kanak-kanak seperti dalam kes seorang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nur Fitri Azmeer Nordin sama sahaja dengan pedofilia, Siti Kamsiah berkata polis bertindak mengikut undang-undang.

“Tidak ada takrif khusus bawah undang-undang yang menyatakan secara spesifik berkaitan pedofil,” katanya kepada FMT, tetapi menambah ciri-ciri kesalahan yang dilakukan Nur Fitri cenderung kepada aktiviti seksual berkaitan kanak-kanak.

“Betul ke dia pedofil polis tidak tahu benar atau tidak tetapi kita anggap dia sebagai pesalah seksual. Menyimpan video lucah membabitkan kanak-kanak adalah kesalahan seksual.”

Siti Kamsiah berkata beliau bukan mempertahankan orang itu tetapi ingin menjelaskan keadaan kesnya.

“Dia bukannya menyerang kanak-kanak tetapi menyimpan dan memuat turun video lucah berkaitan kanak-kanak. Setiap kesalahan ada kesannya,” katanya.

Nur Fitri dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh mahkamah British pada 2015 selepas dia mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan lucah kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.