
“Kami ingin meninggalkan hal itu dan dapatkan untuk rakyat Malaysia wang mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Goldman Sachs John Waldron dalam temu bual Bersama Bloomberg Television pada Rabu, menjawab soalan mengenai 1MDB.
“Kami fokus untuk menyelesaikan hal ini dengan cara sewajarnya,” kata Waldron.
“Kami mahu rakyat Malaysia dijaga.”
Malaysia bulan lepas meluaskan usaha untuk mendakwa kakitangan Goldman Sachs yang didakwa terlibat dalam penipuan 1MDB, membuat tuduhan jenayah terhadap lebih belasan bekas eksekutif kanan dan sedia ada yang berpangkalan di serata dunia.
Agensi penguatkuasaan undang-undang di Amerika Syarikat dan Singapura juga sedang menyiasat jejak wang bagi mencari berbilion dolar yang didakwa disalur keluar.
Waldron berkata sukar untuk memberikan rangka masa bila perkara 1MDB itu akan selesai.
Beliau enggan mengulas prospek sebarang penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman AS.
Goldman Sachs tidak berdepan sebarang sekatan kerana 1MDB ke atas perniagaannya di AS, kata Waldron.
Seramai 17 bekas kakitangan dan sedia ada yang dituduh Malaysia adalah pengarah tiga unit Goldman Sachs yang dituduh mengelirukan pelabur apabila mengatur jualan bon AS$6.5 bilion untuk 1MDB pada 2012 dan 2013.
Pendakwa raya AS menuduh dua bekas pengurus bank di Goldman Sachs, yang menerima bayaran sebanyak AS$600 juta untuk jualan bon itu.
Keutamaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah mendapatkan kembali dana itu, yang dipercayai hilang melalui 1MDB, termasuk menuntut pampasan AS$6.5 bilion daripada Goldman Sachs kerana penglibatannya dalam hal 1MDB.
Mahathir berkata bank itu menawarkan RM1 bilion, yang baginya “kecil” berbanding apa yang diperoleh bank itu daripada urusan bon.
Pendengaran kes Malaysia terhadap Goldman Sachs seterusnya akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.