
Penyanyi Wann, Sham Visa dan Naqiu Boboy tersenarai antara 13 bintang yang bakal berentap dalam Gegar Vaganza musim ke-6 (GV6).
Tampil dengan 11 peserta solo, satu penyertaan kumpulan duo dan satu penyertaan berkumpulan, GV6 menjanjikan persaingan yang lebih sengit pada musim ini.
Selain itu, GV6 turut menampilkan penyanyi Feeza, Nurfatima, Mazlela dan Noorshila Amin.
Manakala bagi peserta solo lelaki, menampilkan Roy, Ameer Sofazr serta dua penyanyi Singapura, Hady Mirza dan Jatt Black Dog Bone.
Lebih menarik, musim kali ini turut menampilkan dua peserta berkumpulan iaitu Kool dan One Nation Emcees.
Untuk tahun keenam berturut-turut GV masih lagi mengekalkan pasangan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai hos program.
GV6 masih menampilkan Ramli MS sebagai juri tetap dan penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang yang kembali semula ke kerusi tersebut selepas setahun berehat bagi menggantikan Khatijah Ibrahim.
Kesemua 13 bintang akan diadili 100% oleh dua juri tetap dan seorang juri jemputan pada setiap minggu.
Menurut pengarah muzik terkenal selaku juri tetap, Ramli dia tidak sabar untuk menyaksikan sesuatu yang istimewa daripada kesemua peserta.
“Memandangkan ini pertandingan nyanyian, saya menunggu bunyi yang mahal daripada mereka,” katanya.
GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula Ahad, 13 Oktober ini, 9 malam secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Juara Gegar Vaganza musim keenam bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.
Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
Untuk rekod, musim pertama Gegar Vaganza dimenangi oleh Ayai (Ilusi), Siti Nordiana pada musim kedua, Azharina (GV3), Aishah (GV4) dan Noryn Aziz (GV5).
Senarai 13 Bintang GV6:
1. Sham Visa
2. Jatt Black Dog Bone
3. Roy
4. Ameer Sofazr
5. Hady Mirza
6. Naqiu Boboy
7. Wann
8. Mazleela
9. Feeza
10. Noorshila Amin
11. Nurfatima
12. Kool
13. One Nation Emcees
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]