Tak perlu henti ECRL, tapi runding semula kosnya, kata Anwar

Tak perlu henti ECRL, tapi runding semula kosnya, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata soal tidak setuju dengan ECRL tidak berbangkit tetapi perkembangan perbicaraan 1MDB-Tanore perlu diambil kira.

Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Anwar Ibrahim berpendapat kerajaan perlu merundingkan semula kos pembinaan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), melihat kepada perkembangan perbicaraan 1MDB-Tanore di mahkamah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk menghentikan projek berbilion dolar itu memandangkan ia telah diteruskan.

“Projek ECRL telah dimulakan jadi soal tidak setuju tidak berbangkit,” katanya pada sidang media selepas Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan di Parlimen hari ini.

Anwar berkata ruang untuk merundingkan semula kos projek itu muncul kerana beberapa keterangan baru yang dibangkitkan saksi dalam perbicaraan 1MDB-Tanore.

“Dalam pengakuan kenyataan bersumpah disebut sebahagian kos itu diambil untuk bayar hutang 1MDB. Jadi kita perlu tahu di mana dan berapa,” katanya.

Anwar merujuk kepada saksi, Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak, bahawa projek ECRL ditimbulkan untuk selamatkan 1MDB.

Terdahulu, ahli ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram di seminar sama menyeru kerajaan memulakan semula perbincangan mengenai pembatalan ECRL dari segi integriti dan daya maju kerana membina laluan sepanjang 648km mungkin menelan belanja berbilion ringgit duit kerajaan.

Anggaran kos terkini Putrajaya terhadap projek itu adalah RM44 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.