‘Pertimbangan nasional’ halang batal ECRL, Guan Eng ulas pendapat Jomo

‘Pertimbangan nasional’ halang batal ECRL, Guan Eng ulas pendapat Jomo

Menteri kewangan berkata ia melibatkan hubungan antara Malaysia dan China, rakan dagang terbesar negara.

KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersetuju dengan pendapat ahli ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram bahawa Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) lebih baik dibatalkan tetapi terdapat “banyak pertimbangan nasional tergugat” jika keputusan itu diambil.

“Saya sama sekali tidak bercanggah pendapat dengan Jomo tetapi ia melibatkan hubungan antara Malaysia dan China, rakan perdagangan terbesar kami,” katanya.

Lim ditanya adakah Putrajaya akan berbincang dengan China mengenai pembatalan projek itu, seperti yang dicadangkan Jomo.

Beliau juga diminta mengulas keterangan saksi perbicaraan 1MDB-Tanore, Amhari Efendi Nazaruddin bahawa projek ECRL ditimbulkan untuk selamatkan 1MDB.

Jomo, kini seorang penasihat penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah berkata Malaysia ada “peluang besar” untuk memulakan semula topik itu dari segi integriti dan daya maju projek itu kerana membina laluan kereta api sepanjang 648km mungkin menelan belanja berbilion ringgit duit kerajaan.

Anggaran kos terkini Putrajaya terhadap projek itu adalah RM44 bilion.

Jomo berkata projek ECRL, yang menghubungkan Kelantan dengan Lembah Klang, akan kurang digunakan dan sangat disubsidikan, dan juga akan memaksa generasi akan datang menanggung kosnya.

“Terdapat kebaikan dan keburukannya,” kata Lim.

Beliau menambah mengekalkan hubungan sihat dengan China adalah perkara yang bagus.

Lim berkata “seluruh projek itu dirundingkan semula dengan kerajaan China dan China juga bersetuju untuk membatalkan projek saluran paip pelbagai produk”.

Dua saluran paip di Kedah dan Sabah, bernilai RM8.3 bilion dianugerahkan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPP) pada November 2016. Kerajaan lepas membayar 88% daripada nilai kontrak walaupun hanya 13% kerja disiapkan.

Apabila dua projek saluran paip itu digantung, beberapa akaun bank CPP dibekukan.

Pada Julai 2019, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia menyita lebih RM1 bilion daripada CPP berhubung projek saluran paip yang tidak siap itu.

Pada 12 April, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menandatangani Perjanjian Tambahan yang mengurangkan kos ECRL.

Dalam perjanjian baru itu, pembinaan Fasa 1 dan Fasa 2 ECRL akan disambung semula pada kos RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal RM65.5 bilion.

Jajaran laluan kereta api itu juga diperbaharui, mengurangkan jaraknya sebanyak 40km kepada 648km dan mengurangkan kos setiap kilometer daripada RM98 juta kepada RM68 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.