PAS: ‘PH perlu berani bantu negeri miskin, tak perlu banding-banding’

PAS: ‘PH perlu berani bantu negeri miskin, tak perlu banding-banding’

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi peruntukan yang secukupnya kepada negeri memerlukan bantuan termasuk kepada Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak sebelum mengkategorikan negeri tersebut miskin.

Tuan Ibrahim Tuan Man.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak sepatutnya membuat perbandingan negeri mana paling miskin di Malaysia sedangkan pada masa sama peruntukkan tidak disalurkan, selar Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi peruntukan yang secukupnya kepada negeri memerlukan bantuan termasuk kepada Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak sebelum mengkategorikan negeri tersebut miskin.

“Saya nak sebut kerajaan kena berani tidak guna Sabah, Sarawak, Kelantan miskin tapi peruntukan tidak disalurkan.

“Royalti petroleum sampai sekarang pun tidak diberi. Kedah tak mengapa sebab ada minyak gamat.

“Berapa peruntukan yang diberikan kepada negeri yang kita kategori miskin,” kata beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian ketika berucap pada Seminar Kemiskinan di Malaysia, di Parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu berani keluar dari kerangka lama menyekat peruntukan kepada negeri yang diperintah pembangkang kerana berbeza ideologi politik.

“Keseimbangan pembangunan wilayah, kerajaan kena akui bahawa kita perlu keluar daripada kerangka lama. Tidak guna kita sebut negeri itu negeri ini miskin, tapi peruntukan kepada pembangunan tidak ada.

“Peruntukan kepada ahli parlimen pembangkangpun cuma bagi RM100,000. Kerajaan kena berani, ini bukan untuk ahli parlimen tapi untuk rakyat. Tapi kalau masih dalam kepompong lama tidak guna kita bincang,” katanya.

Malah menurut beliau, golongan kaya juga perlu mengambil tanggungjawab membantu golongan B40.

“Apa tanggungjawab golongan T20, kita bicara tentang golongan B40. Kita kena fikir bagaimana jutawan yang terlampau kaya kita tidak sentuh. Mereka juga ada tanggungjawab terhadap golongan bahawh,” katanya.

Laporan media baru-baru ini menyebut Kelantan merupakan negeri paling miskin di Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga pernah dipetik berkata Kedah, Kelantan dan Perlis merupakan negeri miskin dan perlu diberikan tumpuan yang lebih.

Mahathir berkata kerajaan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 akan berusaha untuk meningkatkan negeri-negeri yang dikategorikan miskin.

Beliau juga berkata, secara umumnya Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa terdapat jurang antara negeri-negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.