
Mohammad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia meminta peserta Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan di Parlimen hari ini melihat kebaikan projek itu dalam jangka masa panjang, mengambil Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai contoh.
“Kita jangan tengok dari segi ketidakseimbangan fiskal pada hari ini,” katanya. “Kita nak bawa pembangunan ke Kelantan tapi kita takut kosnya mahal, kita takut ketidakseimbangan fiskal, tapi kita tidak pernah fikir ketidakseimbangan pembangunan wilayah di Kelantan.
“Kita tengok mahal tetapi untuk 10 tahun ke depan barangkali itu yang terbaik untuk pembangunan wilayah yang seimbang,” katanya menyanggah pendapat Jomo, seorang penasihat penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah.
Agus menarik perhatian peserta seminar kepada keperluan pengangkutan yang baik di Kelantan, mengatakan kerajaan tidak perlu takut dengan kos yang tinggi jika projek itu mendatangkan kebaikan dalam jangka masa panjang.
“Sehari penerbangan ke Kelantan bukan 15 tapi 65. Itu belum lagi sebut tentang jalan raya. Hari raya ada saja orang mati. Bila nak mula bina lebuh raya? Sampai hari ni belum selesai,” katanya.
Agus menarik perhatian kepada kemunduran di Kelantan, mengatakan tidak adil mengkritik rakyatnya tanpa mengambil kira kekurangan kemudahan ke negeri itu.
“Selesai dulu kemudahan, bina dulu lebuh raya dan keretapi, baru cakap kenapa Kelantan mundur,” katanya.
Terdahulu, Jomo menyeru kerajaan memulakan semula perbincangan mengenai pembatalan ECRL dari segi integriti dan daya maju kerana membina laluan sepanjang 648km mungkin menelan belanja berbilion ringgit duit kerajaan.
Beliau berkata projek ECRL, yang menghubungkan Kelantan dengan Lembah Klang, akan kurang digunakan dan sangat disubsidikan, dan juga akan memaksa generasi akan datang menanggung kosnya.
Anggaran kos terkini Putrajaya terhadap projek itu adalah RM44 bilion.
Sementara itu, Jomo menjawab pendapat Agus mengatakan ada pembangunan kemudahan lain yang perlu diutamakan seperti bekalan air bersih.
“Banyak lagi perkara lebih penting,” katanya.
Pada 12 April, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menandatangani Perjanjian Tambahan yang mengurangkan kos ECRL.
Dalam perjanjian baru itu, pembinaan Fasa 1 dan Fasa 2 ECRL akan disambung semula pada kos RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal RM65.5 bilion.
Jajaran laluan kereta api itu juga diperbaharui, mengurangkan jaraknya sebanyak 40km kepada 648km dan mengurangkan kos setiap kilometer daripada RM98 juta kepada RM68 juta.