Tunjuk video ‘wanita hilang’, polis minta keluarga dalam kes tembak mati

Tunjuk video ‘wanita hilang’, polis minta keluarga dalam kes tembak mati

Polis juga mahu selesaikan misteri sekitar Moganambal Govindasamy.

SEPANG: Polis minta keluarga tiga individu yang ditembak mati dalam kejadian tembakan di Batu Arang di Selangor tampil dengan rakaman CCTV yang menunjukkan seorang wanita yang dikatakan hilang bersama kumpulan lelaki itu beberapa jam sebelum kejadian.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin berkata keluarga harus menyerahkan video itu kepada polis untuk membantu siasatan kerana polis juga mahu selesaikan misteri sekitar wanita itu.

Rakaman, yang dikeluarkan peguam P Uthayakumar hari ini, menunjukkan seorang wanita dikatakan Moganambal Govindasamy keluar dari elevator pangsapuri The Henge di Kepong pada 10.33 pagi pada 13 Sept, beberapa jam sebelum kejadian tembakan.

Dia ditemani suaminya, V Janarthanan dan dua lelaki lain.

Uthayakumar berkata video itu bukti Moganambal bersama tiga lelaki beberapa jam sebelum mereka dibunuh.

Sementara itu, Noor Azam berkata bukan semua kereta polis dilengkapi kamera papan pemuka kereta, selepas keluarga menggesa polis menunjukkan rakaman daripada kereta polis yang terlibat dalam kejadian tembakan itu.

“Setahu saya, hanya kereta peronda lebuhraya dilengkapi kamera papan pemuka kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Sepang.

Dalam kejadian 14 Sept, Janarthanan, seorang warga Sri Lanka, adik iparnya, Thavaselvan Govindasamy, dan Maghendran Santhira Segaran ditembak mati.

Polis berkata mereka enggan berhenti apabila diarah berbuat demikian di Bandar Country Homes, Rawang sebelum kejar-mengejar sejauh 7km yang berakhir di Batu Arang.

Govindasamy, bapa kepada Moganambal dan Thavaselvan, mendakwa anak perempuannya bersama tiga lelaki berkenaan dan dia sudah hilang.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mahu inkuiri ke atas kejadian tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.