Menteri sedia kaji desakan naikkan harga tawaran tanah Kg Baru

Menteri sedia kaji desakan naikkan harga tawaran tanah Kg Baru

Ini susulan permohonan pemilik tanah yang mahu tawaran dibuat pada harga minimum RM1,000 satu kaki persegi.

PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sedia mengkaji permohonan pemilik tanah Kampung Baru yang mahu tawaran pembelian dibuat pada harga minimum RM1,000 satu kaki persegi.

Khalid berkata pihaknya akan mengkaji sama ada harga yang dicadangkan itu berpatutan dan kebolehlaksanaan projek pembangunan Kampung Baru masih kekal.

Ini kerana harga tawaran asal, iaitu sebanyak RM850 satu kaki persegi, berdasarkan penilaian dan daya boleh laksana projek.

“Kerajaan akan pertimbangkan permohonan tersebut,” katanya kepada FMT.

Kerajaan menawarkan RM850 satu kaki persegi pada sesi townhall bersama lebih 3,000 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pada 21 September lalu.

Katanya, purata plot tanah di situ boleh sampai 8,000 kaki persegi, dan tawaran RM850 itu merupakan kadar tertinggi yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

FMT sebelum ini melaporkan terdapat seramai 5,374 pemilik yang memiliki 846 lot tanah persendirian di Kampung Baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.