Tunai semua janji manifesto PH pusat, negeri antara 8 ketetapan konvensyen DAP N9

Tunai semua janji manifesto PH pusat, negeri antara 8 ketetapan konvensyen DAP N9

Konvensyen DAP Negeri Sembilan turut meluluskan ketetapan melarang semua wakil rakyat DAP dan pemegang jawatan awam parti itu memohon tanah kerajaan.

Setiausaha DAP Negeri Sembilan dan ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Merealisasikan kesemua janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pusat dan Tawaran (manifesto) PH negeri antara lapan resolusi yang diluluskan pada konvensyen tahun DAP Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini.

Kesemua lapan resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh 270 perwakilan selepas ia dibentangkan setiausaha DAP Negeri Sembilan yang juga ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin.

Resolusi lain ialah menyeru kerajaan supaya mempercepatkan proses penggubalan dasar baru dan memperbaiki dasar sedia ada supaya ia selaras dengan semangat Malaysia Baru.

Ia turut mengutuk sebarang kenyataan serta tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyebarkan isu perkauman dan agama yang dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia.

Turut diluluskan ialah menyokong penuh keputusan pimpinan DAP pusat bahawa pengurniaan pingat dan darjah kebesaran hanya dicadangkan kepada ahli parti yang sudah bersara daripada perkhidmatan sebagai wakil rakyat atau ahli majlis.

Selain itu, semua wakil rakyat DAP dan pemegang jawatan awam parti itu tidak dibenarkan memohon tanah kerajaan.

Perwakilan juga meluluskan resolusi menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan yang mengubah jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi membolehkan negeri ini turut menerima limpahan ekonomi daripada projek mega itu.

Resolusi yang diluluskan termasuk menggesa peguam negara atau pihak pendakwa raya supaya menyegerakan proses pertuduhan mereka yang disyaki terbabit skandal mega di bawah pentadbiran dahulu dan menyeru kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah kedudukan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Konvensyen sehari itu dirasmikan setiausaha agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan turut dihadiri pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar Aminuddin Harun serta kepimpinan parti komponen PH negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.