Sarawak perlu majlis petroleum, kata badan pemikir

Sarawak perlu majlis petroleum, kata badan pemikir

Kerajaan Sarawak digesa menggubal satu pelan induk merangkumi seluruh rantaian nilai industri minyak dan gas.

Kerajaan Sarawak digesa supaya mengutamakan syarikat Sarawak dalam pemberian kontrak minyak dan gas di negeri itu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir terdiri daripada kumpulan profesional dari Sarawak dalam industri minyak dan gas menggesa diwujudkan satu majlis perundingan petroleum bagi mengurus hasil minyak dan gas di negeri itu dengan lebih baik.

Suarah Petroleum Group (SPG) berkata, majlis sedemikian, yang harus terdiri daripada pemegang taruh dalam industri berkenaan, juga boleh membantu memastikan berlakunya penciptaan nilai secara maksimum.

SPG juga menggesa kerajaan negeri supaya mengutamakan syarikat Sarawak dalam pemberian kontrak.

“Kami menggesa kerajaan Sarawak supaya mengutamakan pengambilan sumber manusia tempatan dan penggunaan vendor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-4 di Miri, Sarawak semalam.

Ia seterusnya meminta kerajaan negeri memperkukuh Pihak Berkuasa Pengurusan Galian Sarawak (SMMA) untuk “memantau, mengawal selia dan menguatkuasakan” undang-undang Sarawak sedia ada dan menggubal yang baru melibatkan operasi minyak dan gas.

SPG turut meluluskan beberapa ketetapan, termasuk menyokong usaha kerajaan Sarawak untuk menegaskan hak pemilikan dan kawalan ke atas sumber minyak dan gas negeri, selari dengan Perjanjian Malaysia 1963, perlembagaan negeri dan perlembagaan persekutuan.

Ia juga menggesa pembangunan sumber minyak dan gas Sarawak yang mampan, selamat dan murah dibuat menerusi satu pelan induk yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.