
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, Mark Sigmund, 62, dan isterinya berusia 48 tahun dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun itu pada jam 12.10 tengah malam.
Akibat kemalangan itu katanya, mangsa, yang berasal dari Maryland, AS, mengalami kecederaan teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 1.54 pagi.
Beliau berkata, isteri mangsa mengalami retak tulang ibu jari kanan dan turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan awal sebelum dipindahklan ke Hospital KPJ Kuching.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta dari arah Kuching Park Hotel menuju ke arah Bulatan Sri Aman seorang diri terlanggar dua pejalan kaki warganegara AS itu yang sedang melintas jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, pemandu berkenaan didapati positif ujian alkohol berdasarkan ujian darah dilakukan di HUS.
Bagaimanapun, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.